Laman Utama
Edit Sendiri Poster Filem Ada Hantu, Hairul Azreen; "Saya & Artis Grafik Puas Hati"
Pelakon yang kini bergelar pengarah filem, Hairul Azreen menyedari poster pertama rekaannya menjadi topik bualan netizen di media sosial.
Tidak mematahkan semangat biarpun poster filem Ada Hantu itu dikritik hebat oleh netizen, kata Hairul dia masih berpuas hati dengan kualiti yang dihasilkannya.
"Pada pandangan saya dan beberapa orang artis digital mereka suka poster filem Ada Hantu walaupun ada yang tak suka sebab kata mereka kurang menarik.
"Saya sendiri berpuas hati dengan apa yang saya buat. Lagipun, ini permulaan saya, ini filem pertama saya dan karya inilah yang saya nak tampilkan.
"Poster ini sekadar petunjuk bahawa filem saya nak keluar dan saya berharap semua boleh terimanya," kata Hairul kepada Gempak.
Hairul dihubungi selepas sesi virtual Sembang Bersama Disney+ Hotstar pada Khamis.
Terdahulu, kecoh apabila poster filem arahan pertamanya, Ada Hantu diklasifikasikan netizen sebagai amatur dan kurang berkualiti.
Hairul pada masa sama tampil menjawab pertanyaan yang diajukan pengguna berhubung poster filem terbabit yang disuntingnya sendiri.
Filem Ada Hantu lakonan Zahiril Adzim, Shiqin Kamal, Elvina Chua dan Nafiez Zaidi itu boleh distrim menerusi platform Disney+ Hotstar yang akan dilancarkan mulai 1 Jun depan.
Anda juga boleh melanggan servis Disney+ Hotstar di laman sesawang atau aplikasi Disney+ Hotstar (Android & iOS) selama tiga bulan dengan harga serendah RM54.90.
Untuk akses lain, kandungan Disney+ Hotstar boleh didapati di pakej Astro Movies Pack.