Laman Utama
Enot Menangis Disahkan Positif COVID-19 - "Kalau Kanser 3 Tahun Boleh Tempuh, Setakat Kuarantin 14 Hari Mesti Okey"
Pelakon Enot mengesahkan dirinya dijangkiti wabak COVID-19 selepas menjadi kontak rapat salah seorang kru produksi di sebuah penggambaran drama baru-baru ini.
Kata Enot atau nama sebenarnya Aliza Abdullah, 43, antara simptom yang dialaminya adalah demam, batuk, muntah dan cirit-birit selepas dua hari melakukan ujian calitan.
Ceritanya, selepas seminggu berada dalam keadaan teruk, dia terpaksa melakukan ujian calitan kali kedua pada Sabtu dan disahkan positif COVID-19 sehari kemudian.
"Saya disahkan positif selepas menjadi kontak rapat salah seorang kru produksi. Selepas raya, saya ada shooting dan bila dah selesai shooting dapat tahu kru tersebut positif selepas berjangkit dengan abang dia.
"Tapi masa itu, saya sekadar jalani kuarantin sahaja sebab sebelum shooting dah buat swab test dan keputusan negatif. Tapi hari kedua kuarantin, saya dah mula demam, batuk, cirit-birit dan muntah.
"Saya kuarantin macam biasa dan sepanjang tempoh itu memang keadaan saya teruk. Selepas seminggu, hari Sabtu lalu saya buat swab test dan Ahad dapat keputusan positif," katanya.
Terdahulu, Enot berkongsi status di Instastory memberi bayangan dia kini sedang sakit dan menganggap kesakitan itu merupakan ujian Allah.
Ketika mengetahui dirinya dijangkiti COVID-19, Enot terkejut namun menggagahkan dirinya untuk melawan penyakit tersebut sepertimana kanser usus pada 2013.
"Sejujurnya, masa dapat tahu positif tu memang saya menangis... tipulah kalau tak menangis. Tapi selepas itu, saya
tanam dalam fikiran untuk sentiasa positif dengan apa yang dah berlaku.
"Kalau kanser tiga tahun saya boleh tempuh, setakat 14 hari kuarantin mesti saya boleh juga. Sekarang ini, saya duduk bertiga dengan anak dan sepupu. Alhamdulillah, keputusan swab test mereka negatif.
"Jadi, saya kuarantin saja di bilik seorang diri. Sekarang ini, keadaan saya semakin baik... sebelum ini hilang deria bau, rasa dan batuk tapi sekarang dah deria rasa dah ada balik," ujarnya.
Enot bersyukur sepupu dan anaknya Qaseh Qistina, 14, yang tinggal bersamanya tidak dijangkiti virus berkenaan.