Erissa Puteri Kini Tunangan Daniel Iskandar, Tak Sangka Jodoh Datang Awal Di Usia 22 Tahun - “Kami Kenal Pun Tak Sampai Setahun”
Tak Tolak Jodoh Awal
Menurut Erissa Puteri, 22, dia dan Daniel tidak merancang untuk mengikat tali pertunangan seawal ini malah memaklumkan mereka juga tidak sampai setahun berkenalan.
“Orang pasti akan bercakap kenapa terlalu awal sangat, tunang umur 22 tahun. Tapi bagi saya bila dah sampai jodoh jangan ditolak.
“Kalau keluarga restu, pasangan pun okey jadi kita jalan saja,” ujarnya ketika ditemui Gempak.
Sifat Berani Daniel Buka Hati Erissa
Berkongsi kisah perkenalan singkat mereka, pelakon drama bersiri SMK itu menyifatkan Daniel seorang yang berani dan berterus terang biarpun baru sahaja kenal.
“Apa yang buat saya boleh terima dia adalah keluarga saya sangat suka dengan dia, bila berjumpa mereka cakap dia lelaki yang baik.
“Dan apa yang buat saya tertarik adalah dia bawa saya jumpa dengan kucing-kucing dia. Saya sangat sensitif dengan kucing. Keluarga kami sampai cakap ini cinta ‘sangkar kucing’.
“Dia juga seorang yang bercakap terus, selepas 2 minggu kami kenal dia terus cakap 'sudikah jadi teman wanita saya?'. Saya terkejut kerana dia sangat berani, jumpa keluarga saya dan berterus terang,” kongsinya.
Dalam pada itu, Erissa yang juga bekas peserta program realiti, Ceria Popstar itu tiada masalah memilih untuk menamatkan zaman bujang di usia muda biarpun mempunyai karier sendiri.
“Sebelum ini kami juga pernah berbincang sekiranya saya masih bekerja dalam industri. Mereka selalu sokong. Orang pasti cakap bila berkahwin tawaran berlakon akan kurang tetapi bagi saya kalau ada rezeki, ada lah,” ujarnya lagi.
Untuk info, Erissa pernah menyertai Ceria Popstar musim kedua pada 2014 dan mula menceburi bidang lakonan dengan drama-drama cilik di Astro seperti Geng UPSR, Puasa Oh Puasa, SMK dan banyak lagi.