Hiburan
Fasha Sandha Tak Sangka Lara Aishah Diminati Kanak-Kanak Disleksia
Pelakon Fasha Sandha akui tidak menyangka drama bersiri lakonannnya iaitu Lara Aishah di tonton serta diminati oleh kanak-kanak yang mempunyai penyakit Disleksia.
Fasha Sandha memberitahu ia menyedarinya selepas meluangkan masa serta berbual dengan kanak-kanak istimewa tersebut di acara kebajikan bersama pelakon-pelakon Lara Aishah.
"Saya gembira dapat meluangkan masa serta berbual dengan anak-anak ini.
"Ternyata mereka tidak seperti yang kita sangkakan. Meskipun mempunyai penyakit disleksia tetapi mereka kelihatan bijak bila bercakap.
"Malah saya kagum kerana mereka juga menonton drama Lara Aishah serta amat meminatinya.
"Saya tak sangka Lara Aishah rupanya diminati oleh semua golongan bukan sahaja dewasa tetapi kanak-kanak," katanya kepada Astro Gempak.
Fasha ditemui di acara bertemu dan beramah mesra bersama peminat drama bersiri tersebut selepas Konsert Hi-5 yang berlangsung di Istana Budaya tadi, Sabtu.
Mengulas mengenai drama bersiri yang mempunyai 100 episod keseluruhannya itu, Fasha memberitahu dia akui agak sedih kerana ia bakal sampai ke penghujungnya pada Januari depan.
"Selama lapan bulan kami di set Lara Aishah saya boleh katakan hubungan kami sudah bagai keluarga dan akrab.
"Jadi bila kami bakal menamatkan penggambaran pada penghujung bulan ni, saya rasa agak sedih juga kerana terlalu banyak pengalaman manis yang tak dapat dilupakan.
"Saya harap kami akan terus akrab biarpun penggambaran sudah berakhir," katanya lagi.
Siri dari adaptasi dari telenovela Mexico, La Loba ini bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang dan ulangan 12 malam di saluran Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).
Teks oleh: Syafiqah Jalal