Berita
FDAM Bakal Perkenalkan ‘Rate Card’ Baru Untuk Bantu Pengarah Tempatan
Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) akan memperkenalkan ‘rate card’ atau standard kadar bayaran terkini untuk rujukan pengarah yang mendapat tawaran kerja daripada produser dan stesen televisyen.
Biro Pembangunan FDAM, Ahmad Hashim berkata, pengenalan kadar bayaran terbaru itu penting agar pengarah tempatan yang menjadi ahli tidak menjadi mangsa produser mahupun stesen televisyen.
“Sebagai contoh, kadar bayaran standard kepada pengarah untuk telefilem adalah RM10,000 tapi ada pengarah lain sanggup mengambil tawaran mengarah dengan bayaran RM5,000,” katanya kepada Astro Gempak.
Ujarnya, apabila FDAM melakukan siasatan terhadap individu yang sanggup mengambil bayaran rendah mendapati mereka bukanlah ahli persatuan itu.
“Memang ada pihak yang tidak mengguna pakai standard bayaran yang ditetapkan terutama membabitkan ahli baru yang membelakangkan ‘rate card’ meskipun ia boleh dirujuk pada FDAM sendiri.
“Rate card baru sudah dibuat cuma belum ada kelulusan,” katanya.
Ahmad Hashim memberitahu ‘rate card’ baru ini meletakkan harga kerja pengarah bagi telefilem antara RM10,000 sehingga RM12,000, drama bersiri untuk 60 minit (RM3,500 per episod), drama bersiri selama 30 minit (RM2,500 per episod), program dokumentari atau majalah untuk 30 minit (RM1,800) manakala dokumentari selama 60 minit (RM2,800).
Ujarnya, sekiranya ‘rate card’ diluluskan kelak, FDAM meletakkan harapan agar produser dan pengarah mematuhi syarat ini demi menjana pendapatan pengarah tempatan dalam menikmati kadar bayaran yang lebih baik.
“Begitu juga, stesen televisyen perlu peka dengan bayaran ini agar produser tidak lagi memberi alasan mereka mendapat bayaran rendah untuk sebarang projek penerbitan memaksa pengarah juga dibayar rendah,” katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: IG @madjohnfdam
Must-Watch Video