Gaya Hidup
#FinancialFaiz: Risiko Kewangan Anak Muda Disebabkan FOMO dan YOLO
Pendidik Kewangan, Faiz Azmi menyatakan ada sesetengah anak muda pada masa kini sukar untuk kekal menyimpan kerana mempunyai rasa Fear Of Missing Out ( FOMO) dan You Only Lived Once (YOLO).
Jelas Faiz atau lebih dikenali sebagai Financial Faiz, Fomo dan Yolo ini merupakan satu perkara yang sama namun pendekatannya berbeza.
Meskipun begitu kedua-dua perasaan ini boleh merugikan sekiranya anak muda tidak membuat keputusan yang tepat.
“Satu isu yang anak-anak muda pada masa kini ialah mempunyai rasa fomo dan yolo.
“Kedua rasa ini seperti adik beradik namun berbeza. Ada sesetengah mereka takut untuk ketinggalan sesuatu perkara contohnya artis Korea buat konsert terakhir sebelum bubar jadi mereka sebagai peminat rasa mereka perlu pergi sana untuk menyaksikan konsert tersebut jadi mereka gunakan tabungan yang sedia ada.
“Bagi konsep yolo pula, anak muda pada masa kini merasakan bahawa sekali seumur hidup mereka harus pergi ke destinasi yang mereka inginkan atau beli kereta mewah sebelum berkahwin.
“Mereka tidak memikirkan peringkat kehidupan mereka. Namun sedar tak sedar mereka sudah membuat hutang dengan kehidupan mereka pada masa akan datang,” ujar Faiz kepada Gempak.
Pada masa sama, Faiz juga berkongsi dimana penduduk Malaysia yang berusia 25-35 tahun paling banyak bankrap pada usia yang muda.
Menurut Faiz, hal ini terjadi kerana mereka telah melakukan hutang-piutang pada usia yang muda bagi memenuhi kehendak mereka sehingga mereka gagal membayar kembali.
“Sebab itulah ramai orang bankrap pada usia 25-35 tahun, dan jika kita tanya kembali bagaimana ia terjadi mereka akan jawab ia berlaku semasa mereka muda.
“Mereka telah melakukan pinjaman-pinjaman yang mereka tidak patut ambil dan bila mereka meningkat usia komitmen sudah bertambah jadi bila mereka tidak boleh bayar mereka bankrap pada usia yang muda,” kata Faiz.
Must-Watch Video