Laman Utama
[FOTO] Mahligai 20 Tandas Mark Wahlberg Terjual Dengan Nilai RM244 Juta!
Aktor Mark Wahlberg akhirnya berjaya menjual mahligai mewah miliknya yang terletak di kawasan elit Beverly Park, Los Angeles dengan harga RM244 juta.
Ironi, mahligai tersebut sudah mula diiklankan hampir setahun lalu untuk jualan dengan harga RM388 juta dan menjadi hartanah nombor tujuh termahal ada dalam senarai pasaran di LA.
Namun selepas harga itu tidak mampu membuat sesiapa memilikinya, ia diturunkan menjadi RM352 juta pada Disember lalu dan akhirnya RM244 juta sebelum dibeli oleh seorang jutawan.
Mahligai tersebut didirikan di atas tanah seluas 6.2 ekar. Ia memiliki 12 buah bilik tidur dengan 20 tandas, pawagam, gim dan kawasan khas untuk menikmati cigar.
Selain itu ia dilengkapi dengan perpustakaan dua tingkat, dua lobi yang berasingan menuju ke ruang tamu dan balkoni persendirian.
Pada bahagian luarnya pula ia memiliki padang golf, kawasan bermain papan selaju dan sebuah rumah inap.
Wahlberg, 51, membeli kediaman tersebut pada harga RM37 juta pada tahun 2009 dan melakukan renovasi yang siap sepenuhnya pada 2014.
Mahligai dengan gaya istana lama itu diilhamkan oleh arkitek sama yang membina kediaman Tom Brady dan Gisele Bundchen, Richard Landry.
Dia membuat keputusan menjual mahligai tersebut kerana mahu berpindah dengan keluarganya jauh dari Hollywood.
“Pada awalnya Wahlberg menyebut mungkin akan berpindah ke California, namun kini memilih Nevada. Dia mahu menjadikan Nevada sebagai Hollywood 2.0,” kata satu sumber kepada People.com.
Dalam satu temubual lain sebelumnya Wahlberg mengaku ingin berpindah untuk memiliki kehidupan yang lebih baik buat anak-anaknya.
“Mereka boleh mencapai impian sama ada menjadi equestrian atau pemain bola keranjang atau pemain golf. Ini seperti kehidupan yang lebih masuk akal buat kami,” ujar bintang tersebut.
Wahlberg dan isterinya, Rhea Durham memiliki empat cahaya mata iaitu Ella, 19, Michael, 16, Brendan, 14, dan Grace, 13.