Laman Utama
GEGAR Agih Daging Korban Kepada 80 Penduduk Kampung Padang Mokan
Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, GEGAR menganjurkan ibadah korban menerusi Korban GEGAR dengan mengagihkan daging korban kepada kira-kira 80 penduduk di Kampung Padang Mokan, Peringat, Kota Bharu, Kelantan.
Pengurus Kandungan GEGAR, Raja Nadia Salwana Raja Hisham berkata, pihaknya berasa bersyukur kerana program berkenaan berjalan dengan lancar.
“Kami bersyukur dapat menjalankan ibadah korban dan mengagihkan sumbangan ini kepada peminat-peminat di Pantai Timur, khususnya di Kampung Padang Mokan, Kota Bharu Kelantan.
“Selain menjalankan ibadah yang dituntut di dalam Islam, tujuan penganjuran Korban GEGAR juga adalah berkongsi rezeki bersama peminat dan penduduk kampung untuk meraikan Hari Raya Aidiladha dan tanda terima kasih kami atas sokongan mereka selama ini,” katanya.
Gotong-royong penyembelihan dan pengagihan daging korban dilakukan di Masjid Mukim Padang Mokan yang disertai oleh personaliti radio GEGAR termasuk Issey (GEGAR Pagi), Ewan (GEGAR Petang), Aswad (GEGAR Malam), KRU Gegar dengan bantuan daripada penduduk kampung dan Geng GEGAR Fan Club (GGFC) di Kota Bharu.
Penganjuran Korban GEGAR mendapat kelulusan dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) serta mematuhi garis panduan ibadah korban yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).
Untuk maklumat lanjut berkaitan ‘Korban GEGAR’ dan kempen-kempen, layari gegar.syok.myatau ikuti platform media sosial.