Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Viral

Gelora Udara: Begini Cara Untuk Memastikan Keselamatan Diri Ketika Insiden

Gempak 27/05/2024 | 13:55 MYT

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) yang terpaksa melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang di Thailand selepas menempuh gelora yang buruk.

Situasi tersebut menyebabkan seorang penumpang maut dan puluhan yang lain mengalami kecederaan.
Situasi lebih kurang sama turut dialami oleh penerbangan Qatar Airways dari Doha ke Ireland semalam apabila 12 termasuk enam anak kapal cedera selepas kejadian gelora udara.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat dari 2009 hingga 2022 merekodkan seramai 163 penumpang dan anak kapal mengalami cedera parah berikutan kejadian gelora udara yang ditempuh pesawat-pesawat yang didaftar di negara tersebut.
Berikut merupakan perihal gelora udara yang anda perlu tahu:

1. Bagaimana terjadinya gelombang udara?

Profesor klimatologi bandar, Dr Matthias Roth menyifatkan gelora udara sebagai satu pergerakan aliran udara yang tidak dapat diramal serta tidak teratur.

Dr Roth yang merupakan ahli akademi dari Jabatan Geografi, Universiti Nasional Singapura (NUS) itu berkata, antara sebab berlakunya gelora udara termasuklah ribut, gunung, cuaca dan arus udara yang kuat seperti aliran jet.
Menurutnya, pergerakan gelora udara biasanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Jenis gelora udara yang diharungi pesawat SIA itu, yang digelar ‘gelora udara terang’, terjadi disebabkan perubahan dalam kelajuan angin, suhu udara atau tekanan pada jarak dekat.

Ia sukar dielakkan kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, sukar diramal dan tidak kelihatan pada radar cuaca.

Sementara itu, Profesor Madya Steve Yim dari Sekolah Alam Sekitar Asia, Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkongsi, gelora udara boleh disebabkan perubahan mendadak dalam kelajuan dan arah angin akibat perbezaan suhu udara pada ketinggian berlainan.

Dalam masa sama, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pula menyifatkan kejadian gelora udara itu sebagai satu hal ‘bahaya besar’ bagi kapal terbang, terutamanya apabila kapal terbang terbang pada ketinggian lebih rendah.
Bagi syarikat ramalan cuaca Amerika Syarikat, AccuWeather, ribut petir yang berlaku dengan cepat berhampiran laluan penerbangan SQ321 mungkin menjadi antara penyebab gelora udara buruk itu.

2. Berapa kerap gelora udara menyebab kecederaan?

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat pula melaporkan, lebih satu pertiga daripada semua insiden kemalangan dalam pesawat di negara itu dari 2009 hingga 2018 mempunyai kaitan dengan gelora udara.

Difahamkan, kebanyakan kejadian mengakibatkan kecederaan terhadap seorang atau lebih penumpang serta anak kapal. Bagaimanapun, ia tidak pernah menyebabkan kerosakan pada pesawat.
Begitupun, kematian akibat gelora udara pula amat jarang berlaku. FAA tidak mencatat sebarang kematian dari 2009 hingga 2022 akibat gelora udara.
Bagaimanapun, seramai 129 kru dan 34 penumpang pesawat cedera parah akibat gelora udara dalam tempoh tersebut.
Mereka mengalami kecederaan seperti patah tulang, pendarahan teruk dan kecederaan organ dalaman yang memerlukan rawatan dan penginapan di hospital selama lebih 48 jam.

3. Gelora udara semakin kerap berlaku ekoran perubahan iklim?

Menerusi kajian yang diterbitkan Dr Paul Williams, profesor sains atmosfera di Universiti Reading, pada 2023, kejadian gelora udara terang yang teruk di Lautan Atlantik Utara telah meningkat lebih 50 peratus dari 1979 hingga 2020.

Dr Roth pula menjelaskan, kejadian gelora udara terang yang meningkat di lautan tersebut ada hubung kaitnya dengan perubahan iklim yang mengubah aliran jet. Aliran jet adalah jalur angin kencang agak sempit yang berlaku pada altitud atau paras ketinggian lebih tinggi, yang biasa dilalui oleh pesawat komersial.

4. Bagaimana penumpang boleh jaga keselamatan diri?

Menurut data NTSB, aktiviti yang paling kerap dilakukan oleh penumpang yang tercedera dalam kejadian gelora udara, ialah ketika mereka menggunakan tandas, menunggu giliran menggunakan tandas, atau semasa mereka berjalan dari tempat duduk ke tandas, atau sebaliknya.

Kegiatan lain yang sering menyebabkan kecederaan adalah semasa mereka duduk tanpa memakai tali pinggang keledar. Pakar penerbangan menasihatkan penumpang agar sentiasa memakai tali pinggang keledar demi menjaga keselamatan diri.
Sumber: Berita Harian Singapura

ARTIKEL BERKAITAN: Ini 6 Kejadian Gelora Udara Yang Melibatkan Pesawat Singapore Airlines Sejak 2004

ARTIKEL BERKAITAN: Gelora Udara Terang; Ketahui Sebab & Langkah-Langkah Keselamatan

#Keselamatan #Penumpang #Gelora Udara #Apakah itu gelora udara
;