Hiburan
#GempakTop2020: Jangan Sia-Siakan Peluang! Ini 10 Selebriti Bakal Menyerlah Tahun 2021
Siapa tak nak jadi artis? Glamor, kaya, disayangi ramai, itu yang menjadi dambaan hingga sanggup menggadaikan privasi diri.
Setiap hari akan ada saja nama baharu menghiasi industri tak kira sebagai pelakon, penyanyi, pengacara atau terkini personaliti media sosial.
Namun, sejauh mana nama seseorang artis baharu itu mampu diingati, bertahan dan dijulang peminat?
Berikut Gempak ramalkan beberapa artis dan personaliti yang bakal menyerlah sepanjang tahun 2021.
1. Iman Troye
Mempertaruhkan single pertamanya Teman, lagu berentak catchy dan viral di merata-rata pada akhir tahun 2020.
Penyanyi muda itu antara Malaysia's darling yang bijak mengatur perjalanan seni, bakat dan fesyen untuk seiring.
Malah, produk seni Iman antara yang ditunggu-tunggu peminat baharunya pada tahun 2021.
2. Cik B
Anak perempuan kepada usahawan kosmetik tersohor Datuk Seri Vida itu sedang melakar populariti dalam karier seninya tersendiri.
Selepas tampil dengan lagu Tolonglah, Cik B membuktikan dia tidak perlu bergantung kepada populariti ibunya semata-mata untuk popular.
Cik B turut mencuri perhatian menerusi produk lakonannya dalam Lelaki Lingkungan Cinta dan terbaharu di pentas komedi Muzikal Lawak Superstar 2.
3. Yonniboii
Penyanyi muda yang disayangi ramai ketika ini. Bukan hanya bakat dalam bidang seni muzik yang memberikan rasa berbeza kepada pendengar, Yonniboii ada aura tersendiri.
Baru sahaja melancarkan EP sulungnya, nama Yonniboii juga kian disebut-sebut antara yang bakal menyinar tahun hadapan.
4. Hakeem Zamal, Adly Sofwan, Noki
Muzik Malaysia mencipta gelombang baharu dengan mengumpul pendengar yang berbeza. Genre pop R&B mulai mengintai peluang dalam industri tempatan sejak akhir-akhir ini.
Maka, nama-nama baharu seperti Hakeem Zamal, Adly Sofwan dan Noki dilihat bakal meraih tempat pada masa akan datang.
5. Aisha Retno
Juga mempertaruhkan bakat dan kualiti vokal yang luar biasa pendatang baharu ini perlu diberi ruang dalam industri hiburan.
Aisha yang punyai beberapa single sendiri termasuk Mengikat Jiwa dan Terima Kasih baru sahaja dinobatkan juara Rookie program realiti nyanyian Vokal Mania.
6. Wafariena
Watak antagonis bertudung bernama Nurul Ain dalam drama rantaian 7 Hari Mencintaiku 2 betul-betul melonjakkan namanya.
Wafariena yang turut punya bakat dalam bidang seni suara mungkin mengatur strategi sendiri untuk menempatkan nama dalam industri.
Sia-sialah jika penangan viral hampir suku tahun 2020 tidak digunakan sebaik mungkin!
7. Zac Zaky
Satu lagi pendukung peranan antagonis yang mencuri hati peminat layar kaca tempatan.
Zac muncul menerusi drama rantaian Perempuan Tanpa Dosa selain punyai peminat sendiri dalam dunia peragaan.
Mungkinkah dia the next Idris Khan?
8. Meerqeen
Anak muda yang dicungkil dari rancangan realiti Hero Remaja ini kian mendapat tempat di hati ramai.
Punyai pesonanya sendiri dan bakat dalam dunia lakonan, tidak hairanlah Meerqeen kini jadi buruan produser tempatan.
Hero drama Angkara Cinta itu diramalkan bakal menyerlah tahun hadapan.
9. Aniq Suhair
Salah seorang lagi kelahiran Hero Remaja yang mendapat tempat di hati ramai.
Lakonannya dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta baru-baru ini turut menjadi perhatian.
Aniq perlu bijak merencanakan karier seni untuk pergi lebih jauh lagi.
10. Kasih Leona & Athalia
Personaliti media sosial juga punyai kelompok peminatnya tersendiri.
Anak kepada pelakon Azhar Sulaiman, Kasih Iris Leona sering menjadi bualan dan tajuk utama media.
Begitu juga penangan anak perempuan penyanyi Sharifah Zarina, Athalia Deena Buswani.
Rugi jika kedua-duanya tidak memanfaatkan peluang populariti yang dikecapi di media sosial untuk mengatur kerjaya dalam bidang seni.
#pelakon
#Penyanyi
#Pelawak
#Pengacara
#Cik B
#Influencer
#Meerqeen
#Iman Troye
#GempakTop2020
#Artis Baharu
#Yonniboii