Laman Utama
#GTheUntoldStory: Sam, Zizan Buang Ego, Buang Emo Demi Evo!
Tanpa merendahkan kredibiliti aktor lain, dalam dunia perfileman yang mengetengahkan duo sama hebat, sama mantap, sama power, sama penuh humor dalam persembahan dan aksi beberapa tahun kebelakangan ini, takhtanya boleh diberikan kepada Shaheizy Sam dan Zizan Razak.
Sejak pertama kali ‘menyatu’ sebagai duo cops fenomena menerusi saga filem Polis Evo yang diperkenalkan pada tahun 2015 di bawah arahan Ghaz Abu Bakar dengan kutipan pecah panggung RM17.8 juta, ‘pernikahanan’ lakonan Sam dan Zizan direstui sebagai sangat mulus.
Sam sebagai Inspektor Khai yang serius dijodohkan dengan rakan Inspektor Sani (Zizan) yang agak cemerekap dan perjalanan filem dengan naratif aksi diselit humor membuatkan Polis Evo menghasilkan sekuelnya, Polis Evo 2, hasil gabungan sutradara Joel Soh dan Andre Chiew membawa naskhah ini ke barometer yang cukup hangat.
Polis Evo 2 yang ditayangkan pada November 2018 mencetak keuntungan sebanyak RM22.45 juta, sekaligus menyaksikan Polis Evo 3 dihasilkan beberapa tahun selepas itu — dengan Sam dan Zizan masih memegang tampuk utama di bawah arahan perdana Syamsul Yusof.
Kembali menjalin kerjasama, Zizan dan Sam berkongsi dengan #G The Untold Story mengenai kembara Polis Evo 3 yang akan ditayangkan ke pawagam seluruh negara bermula 25 Mei 2023 ini.
#G The Untold Story: Bagaimana rasanya kembali berkolaborasi dan meneruskan perjuangan Inspektor Khai dan Inspektor Sani dalam Polis Evo 3 ini, dari segi chemistry yang ditinggalkan lebih lima tahun lalu?
SAM: Untuk saya tidak ada masalah langsung untuk memasukkan roh itu (Inspektor Khai dan Inspektor Sani). Di antara kami sudah sangat selesa. Untuk pengetahun, kami sebenarnya jiran dan saya boleh berjalan kaki dua minit ke rumah Zizan dan sebaliknya. Jadi mahu cakap pasal chemistry memang sudah sangat-sangat selesa.
ZIZAN: Ya, untuk memasukkan kembali roh atau chemistry di antara kami tidak begitu sukar dan selesa. Kami berjiran kerana filem ini (ketawa).
#G: Kalian berdua adalah nama besar dalam dunia perfileman. Zizan mungkin ada cara sendiri, begitu juga Sam. Bagaimana pada akhirnya boleh menjalin kerjasama yang baik dan ‘menikah’ sehingga saga ketiga ini?
SAM: Terus-terang saya cakap, setiap kali sebelum memulakan sesuatu projek seperti filem ini, saya dan Zizan akan cakap kepada diri sendiri. Kami beritahu diri dan di antara satu sama lain agar buang ego, buang emosi, kami bekerja sebagai satu pasukan. Kemudian kami akan berpeluk dan mula bekerja.
#G: Dengan dua kejayaan pecah panggung Polis Evo dan Polis Evo 2, tekanan yang dihadapi untuk Polis Evo 3 barangkali lebih tinggi dan besar. Apa sebenarnya yang menarik sangat tentang karya terbaharu terbitan bersama Astro Shaw dan Skop Productions ini?
SAM: Cabarannya apabila PE dan PE2 jadi pecah panggung, apa lagi yang akan kita berikan kepada audiens? Jadi misalnya jika sebelum ini secara asasnya penonton nampak Inspektor Khai dan Inspektor Sani nampak sangat selesa dan seperti tidak ada rahsia, tapi untuk ini, sehingga pada satu titik, Inspektor Sani sebenarnya banyak tidak tahu mengenai Inspektor Khai yang sebenar.
Satu lagi adalah tentang pengarah. Pengarah kita Syafiq Yusof memberikan sentuhan yang segar dalam PE3. Kita juga ada watak jahat iaitu Sharnaaz Ahmad yang perform sangat bagus dalam filem ini. Ini antara benda yang orang mahu dan akan tonton filem ini.
Dan somehow pada saya, storyline pun sudah cukup menarik. Percayalah, PE3 akan jadi sangat segar.
ZIZAN: Pertamanya, PE3 adalah hasil karya team bukan saya atau Sam sahaja. Semua orang mendapat tekanan dari kejayaan PE dan PE2. Maka PE3 harus jadi lebih baik dari sebelumnya. Apa lagi untuk memenuhi harapan peminat yang sangat tinggi.
Untuk saya secara peribadi, banyak aspek yang perlu diteliti seperti watak dan punchline misalnya.
PE3 mungkin tak banyak plot twist tapi ia tak pernah ada dalam industri. Ini yang saya suka. Kemudian kita ada barisan pelakon lain yang memang hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Douglas Lim.
Penonton juga tidak akan menyangka adanya watak Michael Ang. Beliau jadi gangster dalam filem ini. Memang agak luar biasa tapi saya puas hati.
Bercakap tentang babak aksi, tentulah ada letupan dan kelainan yang menerima sentuhan daripada pengarah kita Syafiq Yusof.
Kita juga melakukan penggambaran sebelum Covid-19 melanda dunia. Meski risau mengenai penerimaannya, saya tetap berharap penonton suka dan mahukan PE4 pula.
#G: Pengorbanan peribadi yang dilakukan untuk filem ini?
SAM: Sewaktu memulakan penggambaran, saya tidak mempunyai bentuk badan kekar seperti yang ditonjolkan dalam PE dan PE2. Badan saya naik, tak ada bentuk langsung.
Tapi saya perlu melakukan babak buka baju dalam PE3 dan apa yang saya lakukan adalah diet dengan minum air tanpa gula. Saya lakukannya secara konsisten selama dua minggu disertai work out dan berjaya mendapatkan six packed dalam tempoh itu.
ZIZAN: Saya mahu cakap harapan saya sangat besar pada filem ini. Sebab, saya telah korbankan jiwa dan raga untuk penggambaran. Misalnya selepas dua minggu penggambaran, saya dijangkiti Influenza A, rasanya macam separuh mati tapi saya tetap mahu memastikan semua momentum berada dalam keadaan yang baik untuk seluruh team.
Sam Belum Mahu 'I'm Done', Zizan Pilih Jadi Star
#G: Jika PE3 sekali lagi pecah panggung, cetak sejarah, masih sudi membawakan watak Inspektor Khai dan Inspektor Sani dalam PE4 jika ada?
SAM: Insya-allah kalau masih laku, ada tawaran untuk buat yang keempat, of course saya akan tengok skrip, tim dan pertimbangkan semuanya.
ZIZAN: Sewaktu kami menggarap PE, idea untuk mempunyai francais sehingga ketiga memang ada. Ia bergantung pada sokongan. Saya pun tak sangka apabila PE ditayangkan, ia jadi perbualan hangat, ada banyak sokongan dan pecah panggung.
Ada pula sokongan dan jadi lebih mudah dengan medial sosial. Kami jadi makin semangat untuk lakukan yang kedua dan ketiga. Walaupun masuk ketiga ini saya sudah mula risau, tapi saya lihat PE mungkin boleh jadi seperti siri Avengers.
Ada banyak pecahan dan isu yang boleh diketengahkan mengikut keadaan semasa.
Cerita atau naskhah dan karya ini seperti makanan, macam nasi kandar kalau sedap, nak makan setiap hari pun okay. Jadi misalnya kalau mahu buat (PE) sampai saga kesembilan atau 10 pun tak ada masalah.
#G: Tahun ini mungkin PE3 adalah satu-satunya filem yang kita saksikan Shaheizy Sam ada ‘di dalamnya’. Selepas berpuluh tahun menjadi aktor, pada fasa sekarang adakah anda sangat selektif dan selesa untuk berkata tidak kepada tawaran yang datang?
SAM: Jika bercakap tentang fasa karier, secara peribadi untuk bercakap im done dengan kerja lakonan memang susah sikit nak berlaku kerana ini minat saya. Saya buat ini (berlakon) sejak kecil. Saya sayangkannya.
Mungkin pada fasa awal ya, saya ada keinginan mahu jadi most popular atau yang terbaik, semua Allah sudah permudahkan. Saya sudah dapat. Syukur.
Cuma sekarang, saya dalam fasa beri yang terbaik supaya satu hari nanti bila saya sudah tidak ada, benda ini (kerja seni) sudah tersemat di hati pemain dan penonton. Untuk dapatkan ini saya kena dapatkan sesuatu atau kualiti yang baik. Saya mahu dikenang sebagai anak seni yang meninggalkan legasi yang baik.
Dan buat masa ini, saya memang memberi fokus kepada bisnes dan mengukuhkan kewangan.
#G: Kalau Zizan pula bagaimana anda melihat diri sekarang berbanding 10 tahun lalu?
ZIZAN: Saya masuk 15 tahun bekerja dalam bidang ini, tapi mula serius dalam seni dan menhargai pekerjaan saya selepas empat atau lima tahun masuk industri.
Dulupun zaman saya masuk industri orang istilahkan ia macam mi segera sebab masuk pertandingan realiti. Itu sangat pedas dan saya mahu membuktikan diri punya kualiti yang baik.
Saya tak mahu jadi komedian yang orang boleh macam asal boleh, saya ada manager ada tim, jangan suruh saya ‘buatlah lawak-lawak bodoh sikit’ misalnya.
Saya pegang pesan Abang Sabri Yunus, permulaan menjadi komedian adalah bermula dengan serius. Jangan jadi komedian murah dengan lawak lucah misalnya, saya mungkin pernah terlepas tapi belajar untuk jadi lebih mahir dan betulkan. Saya diberi peluang dan menadah tangan berdoa untuk memilik di tahap mana saya mahu.
Saya pilih mahu jadi star. Saya bukan tidak suka orang panggil saya pelawak. Tapi saya lebih gemar dipanggil penghibur dan menjadi ikon. Bukan ikon sebagai hero, tapi mahu buka ruang pemikiran orang yang minat dan tidak minat saya tentang arah atau kiblat seorang komedian. Buat yang terbaik. Ada platform sendiri misalnya Tik Tok, jadi tonjolkan bakat, menyanyi atau buat stunt. Begitu cara influencer masa kini cipta nama macam Ryan Bakery, Syahmi. Tonjolkan bakat.