Laman Utama
Hadir Majlis Ilmu Neelofa, Ikuti Kelas Tahfiz, Jasmine Suraya; "Ia Suatu Perjalanan Indah ..."
Pernah dilihat hadir ke majlis ilmu agama anjuran selebriti popular Neelofa, pelakon cantik Jasmine Suraya mengakui sengaja memakai pelitup muka bagi mengelakkan dirinya dikenali.
Ujar Jasmine, 33, keberadaannya di majlis ilmu itu hanya untuk mendengar dan pada masa sama, pelakon filem Paskal itu juga mengikuti kelas tahfiz.
"Ketika saya menghadiri majlis anjuran sebelum ini, saya pakai pelitup muka kerana kalau boleh tak mahu ada yang kenal, duduk pun belakang. Cuma saya hadir untuk sekadar mendengar.
"Saya juga ada menghadiri kelas tahfiz dan bagi saya ia suatu perjalanan yang indah jujurnya. Saya belajar secara berperingkat. Saya rasa, saya menyukainya kerana ia jadi pegangan hidup.
"Perubahan di dalam industri seni berubah dalam masa yang sangat cepat. Satu hari kita berada di atas dan sebaliknya. Jadi untuk memiliki sesuatu yang saya tidak ada dalam hidup (agama), bagi saya, rasa selamat dan stabil. Seperti ada arah.
"Untuk memiliki mereka yang tidak menghakimi, macam kawan-kawan yang mengajar saya, rasanya selamat. Cuma kalau boleh tak mahu ulas tentang perkara sebab ia peribadi. Kalau boleh tak nak orang asyik bertanya itu ini.
"Biarlah perlahan-lahan belajar. Saya sayangkan sesebuah agama itu, saya tak mahu prosesnya berlaku dalam keadaan yang tertekan. Apa pun bersyukur kerana saya juga ada ikuti sesi bersama Neelofa secara ‘zoom meeting’.
"Ramai terbuka menerima, berbanding mereka yang mempersoalkan. Cuma pada awalnya saya rasa malu kerana sangka ramai akan menghakimi, tetapi sebaliknya yang berlaku," katanya kepada Gempak.
Jasmine ditemui pada Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang berlangsung di Encore, Melaka, baru-baru ini menambah dia akan terus fokus kepada hal yang lebih utama dalam hidup berbanding terlalu memikirkan mengenai kisah hangat melibat dirinya di media sosial.
Jasmine mengakui ada ketika komen yang dilontarkan segelintir netizen agak keterlaluan.
"Bagi saya ia sesuatu yang tidak boleh disekat apabila ia melibatkan media sosial. Akan tetapi saya tidak nafikan ada ketika rasa kurang selesa bila sesetengah perkara yang saya lakukan itu menerima kritikan.
"Malah kritikan yang diberikan itu dahsyat kadang-kadang. Seolah-olah ia menjurus kepada serangan peribadi. Misalnya orang mengkritik mengenai pemakaian atau mempertikaikan soal agama serta budaya. Niat kita mungkin berbeza, akan tetapi orang salah erti, begitulah.
"Akan tetapi saya rasa ramai yang terbuka mengenainya cuma saya tidak mahu mengulas panjang kerana ia hal yang sensitif. Sebab itulah saya memilih untuk tidak berkongsi terlalu banyak," tambahnya.