Hiburan
Haiza Hanafi Dedah Kebaikan Jaafar Onn - “Yang Dikongsi Kepada Orang Ramai, Semua Itu Sayalah Saksi”
Menyingkap pengalaman bersama, penyanyi dan pengacara Haiza Hanafi menjelaskan hubungannya dengan Allahyarham pengacara terkenal Jaafar Onn ibarat anak dan bapa.
Menurut Haiza, arwah juga adalah individu yang banyak memberi ilmu mengenai pengacaraan selain gemar berkongsi rezeki kepada orang ramai.
"Kami sangat rapat. Sebelum kahwin saya berada dalam karier seawal 15 atau 16 tahun, saya dah kenal dia. Saya belajar untuk jadi seorang pengacara pun dari pemerhatian saya kepada dia.
"Banyaklah ilmu, kebaikan dia, rezeki dia yang diberikan kepada saya. Yang dikongsi kepada orang ramai, semua itu sayalah saksi. Dan dia tak pernah berhenti waktu dia sihat dulu memang aktif.
"Dia ajak saya pergi rumah artis hantar bantuan. Waktu itu saya dapat kenal artis-artis. Itu sebabnya saya kenal artis-artis lama semua dari jasa-jasa dia," katanya kepada Gempak.
Arwah Aktif & Jaga Pemakanan
Tambah Haiza lagi, Allahyarham Jaafar atau mesra disapa sebagai Papa J juga adalah seorang yang aktif atas pentas termasuk ketika memasak.
"Dia masak manakala saya bercakap sebagai hos. Dulu dia tak pernah ada sakit. Orangnya aktif dan jaga pemakanan.
"Bila tahu dia on and off masuk hospital, memang keraplah kita berhubung. Saya tanya dia nak makan apa, dia jawab kata terasa nak makan itu ini dan terus order hantar guna e- hailing.
"Saya sedih kerana seorang demi seorang artis veteran meninggalkan selepas Maya Matahari, Datuk Nassier Wahab, Rohana Jalil, Ibnor Riza dan sekarang papa pula," ujarnya.
Terdahulu, Haiza mendedahkan kerusi urut merupakan permintaan terakhir selebriti terkenal Allahyarham Jaafar Onn sebelum meninggal dunia pada pagi, Rabu.
Bagaimanapun, Haiza memberitahu kerusi urut itu tidak sesuai untuk digunakan arwah selepas berbincang dengan anak angkat arwah iaitu Mohd Hanif dan beberapa rakan selebriti.
Jaafar Onn dilaporkan telah pun menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang (HSIS) kira-kira jam 11.33 pagi Rabu akibat serangan jantung ketika melalui prosedur endoskopi.
Kesihatan arwah dilaporkan merosot sebelum ditahan wad HSIS selepas mengalami pendarahan semasa membuang air besar.