Berita

Hajat Beli Baju Raya Anak Tak Sampai, Suami Isteri Rentung Dalam Kemalangan

Firdaus
09/04/2024
00:25 MYT
Sponsor Banner
Hajat Beli Baju Raya Anak Tak Sampai, Suami Isteri Rentung Dalam Kemalangan
Hasrat sepasang suami isteri untuk membeli baju raya empat anaknya tidak kesampaian, apabila kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Bukit Mantin menghala ke Seremban, pagi tadi.

Niat Nak Beli Baju Raya Anak

Hasmadi Ahmad, 56, berkata anak perempuannya, Noor Azeana Azreen dan menantunya Abdul Halim Mat Rani, dalam perjalanan dari rumah mereka di Beranang ke rumah keluarga di Seremban untuk mengambil anak-anaknya bagi membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri nanti.
"Saya ada hubungi anak perempuan saya semalam, dia beritahu hari ini mahu beli baju raya anak-anaknya. Cucu-cucu saya ini empat orang masih kecil, berusia dari 12 tahun hingga tiga tahun, kami mendapat berita tentang kemalangan ini pagi tadi," katanya ketika ditemui di bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ).
Hasmadi berkata anak dan menantunya itu bercadang menyambut Aidilfitri kali ini di Rembau, iaitu kampung mentuanya nanti.

Kenderaan Rentung Akibat Kemalangan

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Mat Ghani Lateh memaklumkan berlaku satu kebakaran membabitkan sebuah kenderaan jenis BMW yang terbakar seratus peratus, akibat bertembung dengan sebuah lori milik syarikat pembersihan swasta.
Menurut Mat Ghani, berlaku kemalangan jalan raya di jalan Bukit Mantin menghala ke Seremban melibatkan dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun bersama seorang wanita umur 32 tahun semalam pada pukul 10.25 pagi.
"Siasatan awal mendapati semasa kejadian pemandu kereta jenis BMW yang dalam perjalanan itu ingin memotong kenderaan di hadapannya sebelum hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan lori jenis Isuzu hingga mengakibatkan kereta tersebut terbakar.
"Akibat daripada kemalangan ini, pemandu dan penumpang kereta itu tersepit di dalam kereta didapati telah rentung dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata pemandu lori tersebut mengalami kecederaan ringan luka-luka di bahagian tangan dan kepala. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

BERITA TRENDING: Dua Pemandu Saling Berhimpit Hingga Kemalangan, Netizen Bincang Salah Siapa

BERITA TRENDING: Kes Wanita Meraung Kemalangan Treler dan Proton Wira, Polis Sahkan Pemandu Treler Tiada Kaitan Dengan Mangsa
Sumber: Bernama
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar