Hasrat Nafiez Zaidi Nak Peristerikan Fify Azmi Tidak Kesampaian - “Dah Cuba Pertahankan Tapi Dia Berkeras Untuk berpisah”
Pelakon Nafiez Zaidi mendedahkan hubungan dengan aktres Fify Azmi sudah berakhir sejak Hari Raya Aidilfitri selepas dua tahun menyulam cinta.
Nafiez turut mengakui mereka sepatutnya melangsungkan pernikahan pada Disember tahun lalu namun menangguhkannya atas permintaan bekas kekasihnya.
“Ya, saya dan Fify sudah tiada apa-apa hubungan sejak raya puasa lalu. Memang betul sebelum ini keluarga saya sudah merisik Fify dan kami dah ada tarikh untuk bernikah pun.
“Ikutkan perancangan asal, kami patutnya bernikah pada Disember tahun lalu. Tapi masa saya tengah jalani penggambaran filem MALBATT di Turki, Fify ada hubungi saya untuk minta tangguh pernikahan kami.
“Masa itu, saya ikutkan sahaja kemahuan dia… tapi sejak itu juga, hubungan kami semakin renggang. Ada banyak perselisihan faham antara kami dan akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah,” katanya kepada Gempak.
Nafiez ditemui ketika majlis tayangan filem MALBATT: Misi Bakara yang diadakan di GSC Cinema, IOI City Mall 2, Putrajaya pada Selasa.
Bukan berpunca daripada orang ketiga atau imej seksi Fify, Nafiez memberitahu dia sudah mencuba untuk mempertahankan hubungan mereka namun aktres itu tetap mahu berpisah.
“Bukan sebab orang ketiga atau penampilan seksi dia menjadi punca kami berpisah. Tapi mungkin bagi dia, tiada keserasian lagi. Saya ada juga usaha untuk pertahankan hubungan kami, tapi Fify yang berkeras untuk berpisah.
“Untuk kebaikan, kita pun berpisah la. Kami masih berkawan tapi sudah lama tak berhubung. Kalau boleh, nak profesional, boleh berkawan, lepak dan bekerjasama,” ujarnya.
Hubungan cinta Nafiez dan Fify mula diketahui umum sekitar Disember 2021 dan keluarga aktor itu dikhabarkan sudah menghantar rombongan merisik pada Jun 2022.