Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Viral

“Hukum Melakukan Lathi Challenge Haram & Berdosa” – Mufti Wilayah Persekutuan

Fiza Kamarudin 19/06/2020 | 02:18 MYT

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah menasihatkan orang ramai khususnya yang beragama Islam supaya berhenti menularkan video dan tidak terlibat di dalam cabaran-cabaran (challenges) di media sosial yang berbentuk pemujaan dan ritual demi menjaga akidah.

Dr Luqman berkata, hukum seseorang melakukan Lathi Challenge adalah haram dan berdosa kerana ia mempunyai unsur-unsur pemujaan yang dikhuatiri akan menjerumuskan pelakunya ke dalam perbuatan syirik dan kekufuran.
“Setakat maklumat yang kami dapati, Lathi Challenge ini pada mulanya dipopularkan oleh Jharna Bhagwani di aplikasi TikTok, kemudian ia tular di media sosial dan ramai menyahut cabaran tersebut.
“Challenge ini merupakan cabaran di mana pelaku akan mengenakan pakaian ala-ala tradisional nusantara (Jawa) dengan menari mengikut alunan lagu, lalu tiba-tiba menukar wajah dan pakaian mereka menyerupai hantu yang mengerikan.
“Lathi diambil daripada bahasa Jawa Kuno yang membawa maksud lidah. Ia menjadi judul bagi sebuah lagu single yang dinyanyi Weird Genius yang berduet bersama Sara Fajira.

"Di dalam music video offical, terdapat elemen joget dan tarian yang berunsur ritual mistik.

“Malah, di dalam lirik turut mempunyai bait-bait yang dikatakan mengandungi pemujaan roh dan menyeru makhluk halus.
[[BACA: “Hanya Nasihat, Tak Pernah Tuduh Budaya…” - Lathi Challenge, Da’i Wan Mohon Maaf Pada Orang Jawa]]
“Berdasarkan ciri-ciri yang disebutkan di atas, maka tarian dan lirik lagu yang mempunyai unsur pemujaan dan ritual yang menyalahi akidah Islam, serta pemakaian dan solekan yang menyerupai syaitan atau hantu.

"Lathi Challenge ini termasuk dalam tasyabbuh yang dilarang di dalam hadith. Oleh itu, hukum seseorang melakukan Lathi Challenge adalah haram dan berdosa,” katanya.

Menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah juga, Dr Luqman menegaskan bahawa tindakan menularkan cabaran-cabaran (challenges) seperti ini tidak patut dilakukan, apatalagi ia melibat perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah Islam.

#Mufti Wilayah Persekutuan #Lathi Challenge Haram
;