Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Hukuman Siti Bainun Abai & Aniaya Remaja Down Sindrom, 12 Tahun Di Penjara Kajang

Maliah Surip 02/05/2024 | 08:25 MYT
Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella, tiga tahun lalu.

Rayuan Siti Bainun Ditolak

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi Izraliza menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13 dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.
Wanita itu dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara itu, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Dipenjara 12 Tahun

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun.
Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan. Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

BERITA TRENDING: SKMM, PDRM Tumpaskan Kegiatan Tukar Pasangan Suami Isteri Online!

BERITA TRENDING: Lagi Kes Buang Bayi, Siap Sertakan Nota Mohon Dijaga - “Tolong Jaga Anak Ini…”
#Viral #Penjara #Berita #Jenayah #Remaja #Hukuman #Penjaga #Siti Bainun
;