Laman Utama

Ibu Yati Dakwa Tidak Ada Pihak Berkuasa Bertanya Mengenai Isu Ajaran Sesat

Fiza Kamarudin
03/02/2021
01:20 MYT
Sponsor Banner
Ibu Yati Dakwa Tidak Ada Pihak Berkuasa Bertanya Mengenai Isu Ajaran Sesat
Pemilik akaun Facebook Ibu Yati atau Wan Noorhayati Wan Alias berkata, sebelum ini tiada mana-mana pihak berkuasa yang bertanya mengenai isu berkaitan ajaran sesat seperti dakwaan Yadim.
Bagaimanapun katanya, dia telah dipanggil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk hadir ke pejabat jabatan itu hari ini bagi memberi penjelasan berhubung ajaran sesat yang dikaitkan dengannya.
Katanya, dia bersama dua kenalannya menerima surat daripada Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan JAIS pada petang Selasa.
Mereka juga telah bersedia untuk hadir dan memberi kerjasama sepenuhnya kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.
"Sejak 28 Januari kenyataan oleh Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) menerusi YDP (Yang Dipertua) Nasrudin Hassan, menyatakan saya sesat... bawa agama Islam baharu, syahadah baharu, agama Melayu, ajaran Ibu Yati dan agama Islam... saya tidak pernah dipanggil (JAIS).
"Petang tadi (Selasa) dua pegawai JAIS menghantar surat untuk menghadiri sesi penjelasan kepada tiga daripada kami," jelasnya.
Tambah Ibu Yati lagi, surat daripada JAIS itu berkaitan isu yang diviralkan baru-baru ini.
Sebelum ini, Nasrudin menasihatkan agar orang ramai tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu dibawa individu dikenali sebagai Ibu Yati.
Nasrudin turut mendakwa ajaran tersebut menggunakan lafaz syahadah pelik dan fahaman Islam Melayu merupakan kekeliruan yang boleh merosakkan pemikiran serta akidah umat Islam.
Susulan itu pada Sabtu lalu, Ibu Yati telah membuat laporan polis terhadap Nasrudin dan memberi tempoh tujuh hari kepada Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu untuk membuat permohonan maaf.
Nasrudin bagaimanapun bertegas tidak akan berbuat demikian malah menurutnya Ibu Yati yang sepatutnya perlu mengemukakan permohonan maaf.
Terdahulu tular di laman sosial rakaman video yang memaparkan seorang wanita dipercayai Ibu Yati melafazkan iLa Ha iLa Ra iLa Ma) dan aku Melayu sebanyak tujuh kali sebelum kemudiannya membuat paluan gong dalam sebuah upacara.
[[BACA: Didakwa Bawa Fahaman Sesat, Guna Lafaz 'Ila Ha Ila Ra Ila Ma' Polis Buka Kertas Siasatan Terhadap Ibu Yati!]]
Sumber/Foto: Astro Awani
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar