Viral
Ikan Paus Bungkuk Pertama Kali Muncul Di Perairan Pulau Redang!
Seekor ikan paus yang muncul di perairan Pulau Redang, Terengganu, dipercayai daripada spesies Humpback Whale (Megaptera novaeangliae) atau digelar paus bungkuk.
BERITA TRENDING: Peniaga Tawar Beli 1 Kilogram Muntah Paus Dengan Harga RM123,000, Warga Emas Bakal Jadi Jutawan
Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Maizah Mohd Abdullah berkata, kemunculan ikan berkenaan dianggap istimewa kerana ia belum pernah dilaporkan dilihat di lokasi tersebut sebelum ini.
"Walaupun agak sukar untuk mengenal pasti ikan tersebut kerana rakaman video yang kurang jelas, saya percaya ia daripada spesies paus bungkuk.
"Rakaman video itu menunjukkan bahagian kepala paus tersebut, tetapi pengecaman pada bentuk sirip dorsal menunjukkan ia adalah spesies Humpback Whale (Megaptera novaeangliae) atau paus bungkuk," katanya kepada Sinar Harian.
Pernah muncul di Pulau Pangkor & Sarawak
Beliau yang juga Ketua Projek Ocean Hope berkata, ikan tersebut merupakan haiwan mamalia yang melakukan penghijrahan atau migrasi paling jauh berbanding haiwan mamalia lain serta menggunakan perairan Okinawa, Jepun dan Filipina untuk membiak.BERITA TRENDING: Rasa Badan Macam Ikan Paus, Atikah Suhaime Tolak Tawaran Berlakon
"Spesies tersebut boleh dijumpai di perairan laut dalam seluruh dunia, namun populasi paling hampir dengan perairan Malaysia adalah dari kawasan Western North Pacific.
"Jika di Malaysia, ikan tersebut pernah dilaporkan ditemui di perairan Pulau Pangkor dan Miri, Sarawak," katanya.
Tak bahaya
Menurutnya, haiwan yang memakan krustasea (krill) seperti udang dan ikan kecil dengan cara menapis air laut dalam jumlah yang banyak itu tidak berbahaya atau memberi ancaman kepada penyelam atau nelayan.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menghampiri ikan tersebut kerana dikhuatiri boleh mendatangkan kecederaan secara tidak sengaja kepada manusia ketika ia berenang disebabkan saiznya yang besar.
"Warga tempatan dinasihatkan supaya berhati-hati ketika mengadakan aktiviti di perairan berhampiran dan jika terserempak dengan mana-mana spesies haiwan marin terancam seperti ini, perlu memperlahankan bot dan tidak cuba untuk menghampirinya dengan terlalu rapat.
"Kemunculan haiwan mamalia marin yang seperti Humpback Whale ini memberi mesej untuk semua pihak menjaga kelestarian lautan," ujarnya.
Pada Sabtu tular di media sosial rakaman video berdurasi 39 saat memaparkan sekumpulan nelayan teruja apabila terserempak dengan seekor paus yang ditemui muncul di perairan Pulau Redang.
Sumber: Sinar Harian