Hiburan

Inayah Beauty Hulur RM500,000 Bantu 2,500 Keluarga Di Gaza! - "Kami Bercita-Cita Jadikan Kutipan Ini Acara Tahunan"

Amri Hassan
20/10/2024
15:15 MYT
Sponsor Banner
Inayah Beauty Hulur RM500,000 Bantu 2,500 Keluarga Di Gaza! - "Kami Bercita-Cita Jadikan Kutipan Ini Acara Tahunan"
Buat julung kalinya, Inayah Beauty telah membuat langkah besar dengan membantu keluarga di Gaza, Palestin, melalui sumbangan RM500,000 kepada Yayasan Nurjiwa.
Sumbangan ini akan disalurkan kepada 2,500 keluarga yang memerlukan, sebagai tanda dedikasi syarikat dalam usaha kemanusiaan global.
Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Latifi, menjelaskan bahawa keyakinan terhadap Yayasan Nurjiwa dan reputasi pengasasnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, adalah faktor utama dalam keputusan mereka.
"Kerjasama dengan Yayasan Nurjiwa memberikan kami keyakinan kerana integriti dan kebolehpercayaan mereka. Reputasi Siti yang telus memudahkan kami untuk menyalurkan sumbangan dengan yakin bahawa ia akan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
“Tahun lalu, kami berjaya mengumpul RM300,000 untuk disumbangkan bagi membantu penduduk di Gaza. Tahun ini, jumlah sumbangan bertambah kepada RM500,000 dan daripada apa yang diberitahu, ini bagi membantu 2,500 keluarga di sana,” ujarnya.
Tambah Dini, usaha ini bukan hanya dianggap keperluan segera tetapi juga bertujuan untuk membina satu tradisi tahunan yang menyeluruh.
"Kami bercita-cita menjadikan kutipan ini sebagai acara tahunan dan berusaha memperkenalkan inovasi yang boleh menggalakkan lebih ramai untuk terlibat,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Nurhaliza pula menegaskan bahawa ketelusan adalah kunci setiap sumbangan yang diterima.
"Kami sentiasa memastikan penyumbang mengetahui ke mana sumbangan mereka disalurkan. Dengan itu, kami berkongsi aktiviti-aktiviti di media sosial supaya mereka dapat menjejaki bantuan yang diberikan, termasuk sumbangan makanan kepada anak-anak yatim," kata Siti.
Selain membantu penduduk Gaza, Siti juga menegaskan komitmen Yayasan Nurjiwa dalam membantu rakyat Malaysia yang memerlukan. “Kami memberi keutamaan kepada saudara kita di tanah air yang sedang menghadapi kesukaran,” tambahnya.
Turut serta dalam majlis pengumuman sumbangan berkenaan, duta-duta Inayah Beauty seperti Fasha Sandha, Nora Danish, dan Abby Abadi yang juga berkongsi pandangan mereka.
Menurut Fasha Sandha; "Melibatkan diri dalam usaha seperti ini membuka mata saya terhadap pentingnya sokongan kepada masyarakat. Saya bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif yang memberi impak sebenar."
Nora Danish turut menambah, “Kerjasama antara selebriti dan syarikat mampu membawa perubahan yang signifikan. Ini bukan sekadar sumbangan wang, tetapi isyarat bahawa kita semua bertanggungjawab terhadap kebajikan manusia sejagat.”
Abby Abadi pula berpendapat bahawa aktiviti ini menunjukkan kekuatan bersatu dalam membantu mereka yang ditimpa musibah. "Kami berharap ini akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai untuk bergabung dalam misi bantuan ini," katanya.
Dengan komitmen yang jelas dan kolaborasi strategik, Inayah Beauty dan Yayasan Nurjiwa terus memainkan peranan penting dalam misi kemanusiaan, memberikan harapan kepada ribuan keluarga dan mendorong semangat dermawan dalam setiap pihak yang terlibat.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024