Laman Utama
Individu Dakwa Lagu Malampagi Ada Unsur Maksiat, Jijik - "Bagaimana Muslim Boleh Terlibat ..."
Seorang pengguna media sosial Facebook mendakwa lagu nyanyian Saixse berjudul Malampagi mengandungi lirik yang bertentangan dengan akidah Islam.
Tulis individu berkenaan, lirik korus lagu terbabit yang dicipta bersama Saixse, MK K-Clique serta Saintdnl menceritakan pergaulan bebas dalam kalangan anak muda.
"Liriknya seolah-olah ditulis oleh orang yang tiada iman. Lagu ini menceritakan tentang pemuda fasiq yang hidup bergelumang dengan maksiat, mengalami kekecewaan yang teruk akibat putus cinta.
"Bagi mengubati hati lara, dia berparti atau ke kelab malam. Kadang-kadang dia sekadar duduk-duduk kerana murung.
"Ada kalanya dia menari untuk mengubati kesedihannya. Semua ini digambarkan dalam baris korus," dakwanya.
Malah, individu terbabit mendakwa penulis dan penyanyi lagu tersebut tidak menjaga sensitiviti masyarakat dan agama.
"Penyanyi dan penulis liriknya ialah Saixse dan MK K-Clique (dalam versi remix). Kedua-duanya Muslim.
"Tidak dapat dibayangkan bagaimana Muslim boleh terlibat menghasilkan lagu sekotor dan sejijik ini. Kamu tidak ada otakkah?
"Semoga Allah melaknat orang yang terlibat merosakkan akhlak dan sahsiah remaja-remaja Islam dengan lagu-lagu seumpamanya. Hancur kamu di dunia, hancur kamu di akhirat," tulisnya lagi.
Saran individu berkenaan agar pengkarya lebih peka dan berhati-hati menghasilkan lagu agar tidak membawa pengaruh negatif kepada pendengar.
"Lagu Malampagi yang menjadi siulan ramai ini memang bermasalah.
"Bayangkan jutaan peminat lagu ini sebahagiannya terdiri daripada remaja dan kanak-kanak, diracuni pemikirannya dengan kefasiqan melampau," tulisnya.
Sehingga kini, muzik video lagu Malampagi yang dilancarkan di platform YouTube pada 4 Julai 2023 telah ditonton lebih 5.6 juta kali.