Viral
Ini Kisah Lans Koperal Siti Sarah Yang Tular Bersihkan Anak Tahanan - "Saya Kesian Lihat Keadaannya…"
"Saya kesian bila lihat keadaannya tidak terurus,". Demikian luah seorang anggota polis di Balai Polis Bentong selepas gambarnya membersihkan seorang kanak-kanak tular di media sosial Selasa lalu.
Lans Koperal Siti Sarah Ariffin, 35, berkata, kejadian itu berlaku jam 8.40 malam pada Jumaat lalu apabila kanak-kanak terbabit dibawa oleh seorang lelaki setelah ibunya ditahan di Cheras atas kesalahan jenayah komersial dan dibawa ke Penjara Bentong.
BERITA TRENDING: Pekerja P-Hailing Bakar Kereta Polis Bantuan Ditahan
"Saya sedang bertugas ketika itu dan lelaki terbabit memberitahu dia kenalan ibu kanak-kanak tersebut yang diserahkan kepadanya dan datang ke balai kerana ingin menyerahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Keadaan kanak-kanak ketika itu sangat tidak terurus dan dipercayai mengalami masalah autisme selain tidak boleh bertutur," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Gambar tersebut telah mendapat 3,700 tanda suka, 260 komen dan 67 perkongsian setakat ini selepas dimuat naik di Facebook, Friends of PDRM pada Selasa serta mendapat pujian netizen.
BERITA TRENDING: ‘Kantoi’ Rakam Video Dari Bawah Skirt Perempuan, Lelaki Berusia 33 Tahun Ditahan Polis
Siti Sarah yang bertugas di balai itu sejak enam tahun lalu memberitahu, dia segera membersihkan serta memandikan kanak-kanak terbabit selepas beberapa helai pakaian baharu dan lampin pakai buang yang dibeli Koperal Ahmad Fathi Abdillah.
"Saya kesian bila lihat keadaannya dan bayangkan anak-anak sendiri di rumah...dengan pampers pun tidak ditukar beberapa hari. Selain bersihkannya, saya juga suapkan makanan dan minuman.
"Saya tidak sedar masa membersihkan kanak-kanak itu, gambar dirakam dan kemudiannya tular di Facebook pada Selasa," jelas ibu kepada dua anak lelaki berusia setahun tiga bulan dan lima tahun itu.
Tambahnya, kanak-kanak itu kemudiannya dibawa pulang lelaki terbabit untuk diserahkan kepada JKM dan dia turut menghubungi lelaki berkenaan setiap hari bertanyakan keadaan kanak-kanak terbabit.
"Rasa risau sangat dan hanya lega bila dimaklumkan kanak-kanak itu sudah diserahkan kepada JKM," ujarnya.
BERITA TRENDING: “Doakan Keadilan Untuk Arwah” - Adik Kepada Lelaki Maut Didakwa Diserang Anggota Polis Mahu Keadilan
Ketika ditanya pengalaman sepanjang bertugas, Siti Sarah berkata, detik menjaga dua kanak-kanak warga asing yang ditahan bersama ibunya beberapa tahun lalu antara yang terkesan buat dirinya.
"Selama beberapa minggu, saya dan anggota lain bergilir-gilir menjaga kanak-kanak itu di lokap, belikan makanan dan syukur mereka tidak memberikan masalah seolah-olah memahami keadaan ibu mereka," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, warga Polis Bentong digalakkan untuk membuat "One Good Deed A Day" pada setiap masa sama ada dalam tugas ataupun tidak.
Sumber: Sinar Harian