Laman Utama
"Istiqamah Tak Mudah, Setiap Hari Bergelut Dalam Diri" - 2 Tahun Bertudung, Kilafairy Dilamar Jadi Muse MINAZ Hijab
Dua tahun melalui proses penghijrahan dalam diri, hati dan penampilan termasuk kekal istiqamah itu
bukan sesuatu yang mudah dilakukan Kilafairy.
Namun anak kepada penyanyi era 1980, Rohana Jalil ini percaya kehidupan akan terus menjadi ruang menguji keteguhan hati dan imannya sebagai hamba.
Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisha Jangir Khan percaya proses lumrah itu menjadi pengukur kematangan dan pendinding diri.
"Benar soal istiqamah itu bukan perkara mudah. Ia bukan sehari dua untuk dihadam. Pendek kata setiap hari, saya umpama bergelut dalam diri. Namun lama kelamaan ia bagai satu fasa yang akan jadi terbiasa.
"Pada akhirnya kita hanya mahu dan harapkan reda Tuhan dalam hidup ini," katanya.
Muse MINAZ Hijab
Dalam pada itu, Kilafairy turut beroleh tuah dan rezeki dilamar menjadi wajah wakilan jenama tudung bawal MINAZ Hijab Blossom 3.0 kempen Next Chapter.
"Daripada kerendahan hati, saya bangga kerana terpilih menjadi wajah wakilan koleksi tudung bawal ini. Berurusan dan bekerjasama dengan pasukan kerjanya juga menyenangkan.
"Mereka juga memastikan saya selesa dan berpuas hati dengan tudung yang dipakai serta digayakan. Begitu juga dengan hasil gambar kempen fotografi yang dijayakan.
"Pendek kata tudung yang digayakan bukan sekadar selesa dalam konteks percakapan dan penulisan. Tapi saat dipakai pun dapat rasa keselesaan yang digambarkan itu. Saya sangat besyukur dengan rezeki yang Allah limpahkan selain dikelilingi dengan orang yang baik waktu bekerja," katanya.
Koleksi tudung yang dilancarkan secara rasmi pada malam ini (2 Februari 2020), menampilkan Kilafairy sebagai 'muse' itu sudah menerima 250,000 pra tempahan.
MINAZ Hijab yang dilancarkan pada Ogos 2021 dengan taruhan signature printed Blossom Series terus menjadi kegilaan wanita Malaysia.
Kejayaan koleksi terdahulu contohnya sebanyak 300,000 helai telah terjual selepas lima bulan dilancarkan turut berpanjangan kali ini saat menggunakan khidmat dan pesona Kilafairy.
RM29 sehelai
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif jenama tudung itu, Hafiza Datuk Abd Hamid atau lebih dikenali dengan nama Pija MINAZ memanjat kesyukuran kerana kejayaan awal itu.
"Saya anggap tuah dan rezeki ini datang daripada pelbagai sudut. Tentunya kejayaan ini takkan diperoleh tanpa kerja keras team MINAZ, stokis dan agent seluruh Malaysia seterusnya sokongan Kilafairy sebagai wajah wakilan kempen.
"Kami mensasarkan lima orang bakal Jutawan Hijab hujung tahun ini. Marilah sama sama kita jadi Kaya, Berjaya & Bergaya bersama MINAZ.
"Perniagaan tudung bawal material kapas berkualiti tinggi ini dijual dengan harga mampu milik RM29 sehelai. Pembungkusannya setanding jenama mewah. Bagi mendapatkan tudung bawal itu boleh layari www.minaz.com.my," katanya.
Dalam pada itu, menepis tuduhan sengaja mencipta kontroversi atau publisiti murahan untuk melariskan produk, jenama tudung bawal ini tetap percaya paksi 'dakwah kecil mereka menggalakkan ramai wanita menutup aurat dengan bertudung tidak tersasar.
Malah jenama itu yang meluncur pada tahun 2010, mula diperkenalkan sebagai satu jenama fesyen modest tempatan yang memberi lebih fokus kepada wanita dan keluarga.
Sebelum Kilafairy, Nora Danish terlebih dahulu diperkenalkan untuk siri kempen sama edisi 2.0 tahun lalu yang turut mengundang kontroversi kerana dilihat tidak selari dengan imej tudung dengan wanita 'free hair'.
Pemilihannya bersandarkan imej sopan dan hijrah yang dimulakan sejak tahun 2020 itu.
"Bertepatan dengan kempen global Hari Hijab Sedunia, MINAZ mahu bawakan ikon berhijab dengan cerita tersendiri. Kisah penghijrahan Kilafairy dua tahun lalu memberikan kami inspirasi dalam merangka kempen Next Chapter.
"Ia sekali gus melantiknya sebagai muka hadapan kempen dengan sorotan episod seterusnya saat dia berhijrah memulakan kehidupan fasa berhijab," katanya yang turut bertindak sebagai Pengarah Fesyen jenama itu.
Kata isteri kepada Tamizee Adzman itu, dia sendiri melihat Kilafairy sebagai inspirasi wanita bertudung.
"Lihat saja kesungguhannya untuk kekal istiqamah berhijab. Paling utama dalam menutup aurat dan kekal sopan, dia masih pandai bergaya. Saya sendiri menghormati pendiriannya untuk tampil dengan gaya yang sangat sopan sewaktu sesi fotografi kempen berlangsung.
"Malah dia sendiri lebih teliti memilih gambar yang tidak menjolok mata dan bersesuaian dengan kempen ini," katanya.
#pelakon
#Penyanyi
#Fesyen
#Tudung
#Hijab
#Minaz
#Kilafairy
#Istiqamah
#Muse
#MINAZ Hijab
#Pija MINAZ