Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Jasmin Hamid Kini Bebas Kanser Rahim - “Cyst Belah Kiri Dah Hilang, Kanan Pula Sudah Mula…”

Asyikin Mayudin 30/10/2023 | 09:50 MYT

Pelakon Jasmin Hamid melahirkan rasa syukur apabila doktor memaklumkan bahawa dirinya kini sudah bebas dari penyakit kanser rahim.

Jasmin menerusi video di Instagram menganggap ia merupakan rahmat daripada Allah serta berkat doa keluarga, saudara mara, sahabat dan orang yang menyayanginya.

“Saya sebenarnya nak kongsi keputusan pembedahan saya melibatkan perut saya. Saya dah dapat keputusan daripada doktor yang mengatakan saya sudah bebas dari kanser rahim.

“Ini semua atas izin Allah, kasih sayang dan rahmatNya, serta berkat doa daripada keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan anda semua yang sayangkan saya,” kongsinya.

Bagaimanapun, Jasmin berkata dia masih perlu menjalani pemeriksaan secara berkala bagi memastikan cyst pada bahagian kanan rahimnya tidak kembali membesar.

“Doktor beritahu cyst saya pun dah hilang sebelah kiri, sebelah kanan pun dah mula mengecut. Tiga bulan lagi, saya kena buat ulangan pemeriksaan untuk lihat perkembangan cyst saya yang sebelah kanan.

“Saya harap kawan-kawan yang menjalani pembedahan yang sama dengan saya hari tu pun, dapat berita gembira untuk laporan kesihatan mereka,”

Jasmin turut mengucapkan terima kasih kepada doktor dan para jururawat yang menjaganya sepanjang mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Untuk info, pada September lalu Jasmin mendedahkan dia terpaksa menjalani pembedahan kecil pada ulang tahun kelahirannya.

Malah Jasmin pernah memberitahu dia tergores hati dengan komen negatif netizen yang mengutuk perubahan fizikalnya tanpa mengetahui masalah kesihatan sedang dihadapinya.

Jelasnya, perubahan itu disebabkan masalah cyst dan hormon tidak teratur sehingga dia mengalami pendarahan pada rahim.

Tahun lalu, Jasmin mengalami serangan jantung dan ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) namun tahap kesihatannya beransur pulih selepas mendapat rawatan.

BACA SINI: “Kereta Buruk? Saya Okay Je Pakai Wira Lama” - Jasmin Hamid

BACA SINI: Makin Ceria & Kelakar, Netizen Syukur Jasmin Hamid Makin Sihat! Siap Minta Tips Untuk…

#Jasmin Hamid #Jasmin cyst #Jasmin kanser
;