Hiburan
"Jatuh Terlentang & Terpaksa Lakukan Fisioterapi" - Demi Anak, Anzalna Nasir Alami Kecederaan Di Bahagian Otot
Aktres Anzalna Nasir mendedahkan dirinya dimasukkan ke hospital selama lima hari disebabkan mengalami kecederaan di bahagian otot.
Jelas Anzalna, kesakitan yang dialaminya itu berpunca akibat jatuh terlentang di rumah.
"Ketika itu, saya sedang bersiap untuk menghadiri sebuah majlis dan pada masa yang sama Mohamad Eidrees menangis.
"Saya pulak sejenis yang tidak suka membiarkan anak menangis lama dan perlu cepat untuk tenangkan dia.
"Sewaktu mahu berkejar mendapatkan Eidrees, saya jatuh terlentang. Namun, pada masa itu saya terus bangun, dukung dan sempat beri Eidrees makan.
"Tapi selepas masuk ke dalam kereta, badan saya tidak dapat bergerak. Suami terus bawa ke hospital dan setelah berjumpa dengan doktor telah disahkan otot saya bengkak," katanya kepada Gempak.
Anzalna ditemui ketika majlis akikah Eidrees yang diadakan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya semalam.
Dalam pada itu, pemilik nama Nur Anzalna Md Nasir akui keadaan kesihatannya belum pulih dan dikehendaki untuk menjalani rawatan fisioterapi.
"Eidrees tidak boleh dibawa ke hospital dengan keadaan tidak berapa okay lebih-lebih lagi dengan virus yang melanda.
"Boleh dikatakan setiap hari saya menangis rindukan Eidrees. Jadi saya minta ibu bapa datang bawa Eidrees lalu saya turun ke kereta untuk menyusu dan bermain dengannya.
"Kalau ikutkan, doktor minta untuk saya terus ditahan di hospital namun saya menolak.
"Walaupun masih sakit, saya tidak sanggup lagi. Bagi saya yang penting adalah Eidrees, sakit itu tolak ke tepi,” katanya lagi.
Sekadar info, Anzalna mendirikan rumah tangga bersama suaminya Hanif Zaki pada 21 Februari 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Mohammad Eidress pada 31 Mei yang tahun lalu.