Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

"Kami Tidak Lagi Suami Isteri" - Hisyam Hamid

Firdaus 23/05/2024 | 09:36 MYT

Pelakon Hisyam Hamid berkongsi cerita tentang hal perkahwinannya selepas khabar angin mendakwa hubungannya dengan isteri, Rosmawati Hanafi sedang bergolak.

Lebih selesa sebagai kawan baik

Menurut Hisyam atau nama sebenarnya Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 39, memberi bayangan bahawa dia dan Rosmawati tidak lagi bergelar suami isteri.

Pelakon drama Bunga Salju itu juga menyatakan dia dan Rosmawati atau lebih mesra disapa sebagai Mel lebih selesa menjalinkan hubungan sebagai kawan baik sahaja.

"Saya tidak mahu oleh kerana satu detik hitam yang berlaku antara kami memusnahkan hubungan ini.

"Buat masa ini kami rasa jalan yang terbaik adalah untuk kami tidak lagi menjadi suami isteri.

"Kami hanya mahu fokus mara ke depan. Masing-masing sudah pun membawa haluan sendiri. Apa paling penting, kami sama-sama ada tanggungjawab terhadap anak-anak dan mereka juga berada di bawah penjagaan saya," katanya.

Hisyam mendedahkan perkara tersebut ketika ditemui di Sidang Media drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju yang berlangsung di Zebra Square pada petang Khamis.

Kerjaya masih diuruskan oleh Mel

Bercerita lebih lanjut, Hisyam tidak menafikan bahawa kerjaya seninya masih diuruskan oleh Mel dan komunikasi di antara mereka masih baik.

Hisyam turut menjelaskan dirinya sangat menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh Mel sepanjang kehidupan mereka bersama.

"Tak ada yang salah atau negatif untuk kami teruskan demi anak-anak. Apa yang berlaku sudah berlaku. Buat masa ini kami selesa berkawan baik, lebih dari itu saya tak pasti, masa yang akan menentukan.

"Pada akhirnya dia adalah ibu kepada anak-anak saya. Hampir 20 tahun kami bersama, tidak semuanya buruk dan negatif. Banyak benda positif yang kami lalui.

"Dia melahirkan dua anak saya, itu adalah satu pengorbanan besar. Momen itu saya hargai dan hormat dia,” luahnya.

Terdahulu, Hisyam memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kehidupan peribadinya kerana banyak perkara yang perlu dipertimbangkan terutama anak-anak.

Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Mel pada 2006 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15.

BERITA TRENDING: Hisyam Hamid Belum Sedia Ulas Status Cerai - "Siapa Yang Perasan Tu, Perasanlah"

PILIHAN PEMBACA: ​"Saya Masih Suami Orang" - Hisyam Hamid

#Hisyam Hamid #Perkahwinan #Kawan Baik #Status Rumah Tangga
;