Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

"Kandungan Luar Rahim Pecah..." - Pelakon Villa Nabila, Tisha Shamsir Keguguran Kembar Tiga

Amri Hassan 26/08/2019 | 05:25 MYT
Pelakon filem Villa Nabila, Tisha Shamsir mendedahkan dia mengalami keguguran kembar tiga, tiga bulan lalu.
Berdukacita atas kehilangan cahaya mata sulungnya itu, kata Tisha, 33, dia bagaimanapun akur rezeki tidak memihak padanya dan suami.
"Kecewa memang kecewa sebab sudah lama menunggu. Allah bagi rezeki kembar tiga selepas tiga tahun kahwin namun Dia tarik balik rezeki itu dan gantikan dengan yang lain.
"Pada mulanya saya tidak sangka saya hamil kembar tiga, sehinggalah saya membuat pemeriksaan dan doktor mengesahkan dua daripada janin itu berada di luar rahim.
"Namun, malangnya kantung luar rahim saya pecah dan doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkannya.
"Kemudian, kami nekad untuk menyimpan satu daripada tiga itu namun gagal diselamatkan apabila gugur dengan sendirinya selepas pembedahan itu," katanya kepada Gempak.
Tisha yang ditemui pada majlis doa selamat dan pra pelancaran telefilem Kerusi Kecil di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini menambah ketika itu usia kandungannya mencecah dua bulan.
"Insya-Allah saya tidak putus doa dan terus berharap untuk dikurniakan rezeki lagi selepas ini," ujar Tisha lagi.
Katanya, keluarga suaminya, Ady Hafize Hanaffiah mempunyai sejarah keluarga bayi kembar termasuk kakaknya yang hamil kembar empat.
Tisha yang juga bekas peserta Mentor musim keenam telah mendirikan rumah tangga bersama bekas pengurus produksi Skop Productions, Ady pada 2016.
Dalam perkembangan lain, Tisha dan Ady bakal menerbitkan sebuah telefilem Kerusi Kecil yang dibintangi Zizan Razak dan Bella Astillah menerusi syarikat produksi milik mereka sendiri, Adtisya Productions.
Telefilem itu akan menjalani penggambaran sekitar Terengganu bermula September ini.
Kerusi Kecil mengisahkan kehidupan seorang lelaki kreatif yang mengejar impiannya dalam dunia perniagaan perabot.
#pelakon #Pelakon #Gugur #Tisha Shamsir
;