KBS Tunggu Laporan Lengkap Punca Pergaduhan Penyokong Di Stesen LRT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih belum menerima laporan lengkap berhubung punca pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan,Kuala Lumpur tengah malam tadi.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim menegaskan, pihaknya mempunyai dasar yang jelas dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tingkah laku melulu atau ganas daripada atlet mahupun peminat.
"KBS memahami peminat mungkin menjadi emosional pada waktu-waktu tertentu dan menghargai semangat itu, namun itu bukan alasan untuk sebarang tindakan melampaui batas," katanya dalam ciapan di X, pada Sabtu.
Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menyeru semua peminat sukan agar sentiasa menjunjung semangat kesukanan dan menunjukkan rasa hormat kepada semua pihak.
"Sebagai penyokong, kita mesti menjadi contoh yang positif," tambahnya.
We have yet to receive any full report on the incident, as to whether or not it is related to or caused by the match played last night.However, we hope that every fans out there will always maintain the true spirit of Ekor Harimau Malaya, who are widely regarded as some of the… https://t.co/d5qIns0X0J— Adam Adli (@AdamAdli) December 21, 2024
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pihaknya sudah membuat satu laporan polis berhubung insiden itu bagi memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas kesemua pelaku.
Menurutnya, insiden yang berlaku membabitkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang - Sri Petaling sekitar jam 12 tengah malam Jumaat itu mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform.
Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian tersebut.