Hiburan
Kecewa Tak Dapat Watak Utama Antagonis, Andy Teh Tetap Syukur Diberi Peluang Berlakon Filem Hong Kong - “Saya Dapat Tahu Pengarah Tukar…”
Gembira diberi peluang untuk beraksi dalam sebuah filem Hong Kong, pelakon aksi Andy Teh bagaimanapun meluahkan rasa kecewa tidak dapat memegang watak utama antagonis.
Ditukar peranan lebih kecil
Menurut Andy, faktor utama dia ditukarkan kepada peranan lebih kecil disebabkan kurang fasih untuk bertutur dialek Kantonis meskipun dirinya berbangsa Cina.
"Kalau diikutkan ada rasa kecewa sedikit sebab tak dapat pegang watak utama antagonis dalam filem itu apatah lagi, ini pertama kali saya berlakon dengan produksi luar negara.
"Saya dapat tahu pengarah tukar peranan yang lebih kecil dan saya terpaksa terima. Sekarang jadi macam watak kedua antagonis. Faktor utama saya tak dapat watak utama adalah sebab saya tak mampu bertutur dialek Kantonis dengan baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Pernah Jadi Mangsa Buli, Andy Teh Mula Belajar Taekwondo Ketika Umur 10 Tahun! - "Saya Terfikir Nak Balas Dendam, Tapi ..."
"Meskipun saya seorang yang berbangsa Cina, saya memang tak pandai tulis dan baca dialek Kantonis. Lagipun saya sekolah rendah kebangsaan semasa kecil,” katanya.
Cabaran watak
Berbicara lebih lanjut, Andy turut mengakui proses mendalami watak sangat mencabar buat dirinya, malah dia perlu menggunakan bantuan ‘Google Translate’ untuk memahami kehendak skrip.
Bukan itu sahaja, Andy perlu meminta bantuan daripada beberapa orang kenalan rapatnya.
"Bila dapat skrip memang susah sebab kena Google Translate terlebih dahulu untuk fahamkan kehendak skrip. Sangat mencabar dan agak tertekan juga tapi syukur projek ini sudah hendak selesai tidak lama lagi,” ujarnya.
Tambah pelakon filem prekuel Mat Kilau ini, dia masih berasa gembira dan bersyukur apabila pihak produksi luar nampak bakatnya.
Andy yang ditemui ketika Majlis Perasmian Elitez Mixes Martial Arts di Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini turut berkongsi mengenai perkembangan kariernya sebagai seorang usahawan.
Jelas Andy, Elitez Mixes Martial Arts di Mont Kiara itu merupakan cawangan ketiga gimnasium seni mempertahankan diri yang diusahakan olehnya.
"Lebih teruja, aktor Hun Haqeem merupakan rakan kongsi saya bagi cawagan yang ketiga ini,” katanya lagi.