Laman Utama
Pernah Jadi Mangsa Buli, Andy Teh Mula Belajar Taekwondo Ketika Umur 10 Tahun! - "Saya Terfikir Nak Balas Dendam, Tapi ..."
Gara-gara pernah menjadi mangsa buli di sekolah rendah, pelakon Andy Teh mula aktifkan diri dalam sukan teakwondo pada usianya 10 tahun.
Biarpun pada mulanya mahu membalas perbuatan pembuli itu, namun lama-kelamaan Andy menganggap seni pertahanan diri itu untuk membanggakan ibu bapanya.
"Saya memang pernah jadi mangsa buli tetapi tidaklah secara fizikal. Saya masih ingat, masa umur 9 tahun, saya nak pergi sekolah mesti kena ganggu dengan tiga orang budak.
“Masa umur saya 10 tahun, saya mula masuk sertai taekwondo di sekolah sebab ketika itu saya terfikir untuk membalas semula perbuatan mereka.
“Namun lama-kelamaan saya sedar seni mempertahankan diri bukan bertujuan membalas dendam. Apabila saya mula belajar, sasaran saya bukan lagi ke arah itu (balas dendam).
“Saya mahu membanggakan diri dan kedua ibu bapa dengan kemampuan yang ada," kata Andy kepada Gempak.
Andy berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran gimnasium seni mempertahankan diri miliknya iaitu Elitez Mixed Martial Arts yang terletak di Shah Alam pada Sabtu.
Bercerita lanjut tentang penglibatan dalam sukan ini, Andy juga turut bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan menggerakkan kempen anti buli di sekolah sekitar Selangor.
"Apa yang saya lakukan bukan sekadar beri ceramah, sebaliknya lebih kepada mendekati pelajar sekolah untuk mengetahui masalah mereka.
"Ada yang menjadi mangsa buli dan juga pembuli. Dari situ kami akan terangkan kepada mereka tentang tindakan yang sepatutnya diambil bagi menghentikan budaya buli," jelasnya.
Untuk info, Andy pernah bergelar juara untuk sukan tersebut menerusi pertandingan peringkat antarabangsa pada 2020 yang berlansung di Petaling Jaya, Selangor.
Must-Watch Video