Keluarga Harap Proses Bedah Siasat Berjalan Lancar - “Setakat Ini Tak Tahu Ada Kecederaan Atau Tidak”
Kakak sulung kepada Allahyarham Nidza Afham iaitu Irfahani berharap agar proses bedah siasat hari ini berjalan dengan baik.
Irfahanie berkata ahli keluarganya juga berharap agar tiada sebarang kecederaan pada tubuh badan arwah adiknya itu.
“Kami harap yang baik-baik saja proses ‘post mortem’ hari ini.
“Sebab setakat ini kami tak tahu keadaan jenazah itu macam mana, ada kecederaan ke apa ke, kita tak tahu.
“Jadi saya harap yang baik-baik saja supaya dia tidak terseksa,” ujarnya kepada pemberita.
Irfahanie berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam pada pagi Khamis.
Sementara itu, suami kepada Irfahanie iaitu Muhammad Effie Amron, 34, dilihat tidak dapat menahan sebak sewaktu berkongsi mengenai penemuan arwah adik iparnya di lokasi penemuan.
“Saya yang buat pengecaman mayat sekitar jam 8 malam semalam (Rabu). Saya yakin itu adalah dia (Nidza) berdasarkan wajah dan pakaian yang dipakai,” kongsinya sebak.
Terdahulu, Afham yang aktif membuat persembahan dilaporkan hilang selepas keluar berjogging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri pada Selasa malam.
Teman wanita mangsa kemudiannya mengesan telefon bimbit mangsa berdekatan jambatan Sungai Klang selepas gagal dihubungi.
Susulan itu, keluarga mangsa bergegas ke tempat kejadian turut menemui telefon bimbit dan dompet milik mangsa.
Pada Rabu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan mayat lelaki yang ditemui di sekitar jambatan Sungai Klang kira-kira jam 7 malam tadi adalah Nidza Afham.
Mayat mangsa ditemui oleh orang awam yang sedang memancing di kawasan berkenaan.
Jenazah akan melalui proses bedah siasat sebelum dikebumikan pada Khamis Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah.