Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Keluarga Membenarkan Hafidz Kahwin Lagi Tanpa Izin Saya”- Rasa Dikhianati, Ini Kenyataan Balas Shuhada Terhadap Hafidz Roshdi

Syafiqah Jalal 11/03/2023 | 10:23 MYT
“Sebelum ini, kenyataan yang saya muat naik di media sosial tanpa mengetahui tentang kedudukan undang-undang,” itu kenyataan balas dari Shuhada Mat Shukri selepas pelakon Hafidz Roshdi memintanya untuk memohon maaf di atas kenyataan yang didakwa berbaur fitnah terhadap dirinya sebelum ini.
Shuhada menerusi akaun Instagram miliknya memberi kenyataan balas panjang lebar selepas Hafidz Roshdi hanya memberi masa selama 48 jam untuk membuat permohonan maaf berkenaan sejak siang tadi.
BACA: Hafidz Roshdi Beri Tempoh 48 Jam Mahu Shuhada Mohon Maaf & Tarik Balik Kenyataan Berbaur Fitnah
Kata Shuhada, selepas ini dia tidak akan memberi sebarang kenyataan dan segala tindakan akan dilakukan melalui saluran undang-undang.
“Saya, Nurul Shuhada binti Mat Shukri, ingin membalas kenyataan dari bekas suami saya, muhammad Hafidz bin Roshdi.
“Saya membalas melalui media sosial kerana kenyataan dinyatakan juga melalui media sosial. Sebelum ini, kenyataan yang saya muat naik di media sosial tanpa mengetahui tentang kedudukan undang-undang.
“Setelah berlaku insiden (didakwa ditumbuk Hafidz) pada 2 Mac 2023 yang kini masih dalam siasatan polis, saya telah mendapatkan nasihat undang-undang dan atas nasihat peguam saya, saya tidak akan mengupas lanjut tentang kenyataannya satu persatu. Segala tindakan selepas ini akan melalui saluran undang-undang termasuklah tuntutan sivil.
“Cuma saya memuat naik kenyataan ini kerana demi melindungi saya dan anak- anak saya,” jelasnya.
Tambah Shuhada lagi, dia telah memberikan yang terbaik untuk Hafidz serta mengorbankan impiannya untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dalam menjaga kebajikan rumah tangga dan keluarga.
“Benarlah bagai kata Hafidz bahawa dalam perkahwinan itu ada kelemahan masing-masing. Harmoninya rumah tangga itu jika sama-sama kita sebagai pasangan melengkapi antara satu sama yang lain.
“Saya juga telah cuba sehabis baik. Sejak mula berkahwin, saya telah melupakan masa depan saya untuk sambung belajar walaupun peluang telah diberikan dan saya telah memutuskan untuk memberi perhatian menjadi isteri dan ibu sepenuh masa.
“Menjadi isteri Hafidz yang sentiasa menyokongnya dalam kariernya walaupun kadangkala sejak perkahwinan kami diuji dengan pelbagai ujian. Saya berdiam diri. Masih tetap setia saya bersama,” luahnya.
Pun begitu, Shuhada mendakwa pengorbanannya bagai sia-sia apabila dia diberi ujian yang hebat sebagai seorang wanita dan isteri.
“Namun, baru-baru ini saya telah diuji dengan ujian yang sangat berat. Ujian yang bukan mudah untuk kami wanita hadapi. Ujian yang bakal mengubah kehidupan saya dan anak-anak. Bukan mudah berada dalam situasi ini. Bukan semua juga dapat menghadapinya,” ujarnya.
Justeru, Shuhada memberitahu dia tidak akan berdiam diri malah mendedahkan keluarga Hafidz membenarkannya berkahwin lagi tanpa pengetahuan dan izinya.
“Saya tidak lagi boleh berdiam. Saya terasa dikhianati, semuanya berlaku tanpa pengetahuan saya. Tetapi dengan pengetahuan keluarga Hafidz iaitu membenarkan Hafidz berkahwin tapa izin saya.
“Saya terasa seorang diri dan hadirnya pihak lain yang menjadi orang ketiga dalam kehidupan kami. Kebiasaannya pada peringkat awal, saya sebagai wanita menjadi marah, geram, keliru memikirkan pelbagai hal. Saya kecewa. Saya sedih.
“Saya memikirkan nasib saya dan anak-anak. Mampukah kami meneruskan kehidupan saya sebagai suri rumah dan bangkit untuk membela saya dan anak-anak. Apakah kemungkinan akan datang?" persoalnya.
Kata Shuhada dia sudah pun memberikan peluang kepada Hafidz untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka namun tidak sangka pula dikasari dan dilukai sekali lagi.
“Kemudian apabila kami cuba menyelesaikan hal ini. Saya cuba memberi peluang dan cuba berbincang dan saya mendapat tahu tentang sesuatu yang sebagai seorang wanita, saya tidak kuat untuk hadapi. Saya dikasari dan saya dikhianati. Sehingga berbekas dihati dan secara fizikalnya.
“Hanya kerana saya seorang wanita, mudahnya untuk disakiti hati dan fizikal saya. Apa sahaja versi Hafidz tidak dapat memadamkan bekas yang telah dia tinggalkan dalam kehidupan saya. Jadi kalau berlaku pada kalian, bagaimana agaknya reaksi kalian?,” luahnya lagi.
Walau bagaimanapun , Shuhada yang tidak mahu diadili oleh sesiapa itu berharap kisah hitam yang berlaku kepadanya tidak akan terjadi kepada wanita lain.
Malah bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang atas kecederaan yang dialami.
“Saya tidak minta diadili, kalian ada pendapat sendiri. Saya juga berharap, janganlah kisah saya ini terjadi kepada siapa-siapa yang lain. Saya akan mengambil tindakan undang-undang termasuk kecederaan yang saya alami,” tegasnya mengakhiri penjelasannya

A post shared by shu as it SHU ! (@shushukriii)

#Hafidz Roshdi #Kenyataan #Dikhianati #Shuhada
;