Kes Tembak KLIA: Hafizul Mengaku Bersalah Tujuh Tuduhan Termasuk Miliki Senjata Api
Seorang pengurus syarikat agensi pelancongan Hafizul Hawari, 38, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kelantan hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada 14 April tahun lepas.
Hafizul yang mengaku tidak bersalah pada 24 April tahun lepas, bagaimanapun telah menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mahkamah menetapkan Selasa depan untuk fakta kes dan hukuman.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.
Beliau juga didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki 33 butir peluru PMC 380 AUTO tanpa lesen yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ketiga, Hafizul dituduh memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu berbeza mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.
BERITA BERKAITAN: Insiden Tembak KLIA: Isteri Sedang Hamil, Dalam Proses Cerai
BERITA BERKAITAN: Kes Cubaan Bunuh Isteri Di KLIA: Kes Dianjak, Pengurusan Hafizul Harawi Minta Masa Sebulan Lengkapkan Dokumen Kes
BERITA BERKAITAN: Kes Cubaan Bunuh Isteri Di KLIA: Hafizul Hawari Tiba Di Mahkamah Berpakaian Serba Putih
BERITA BERKAITAN: Lelaki Mahu Tembak Isteri Di KLIA, Tertembak Pengawal Peribadi
Dibawah pertuduhan ketujuh pula, Hafizul didakwa memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua duanya sekali.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kereta itu di perkarangan sebuah hospital swasta di sini, pada 2 petang, 15 April lepas.
Sumber: Astro Awani menerusi BERNAMA