Kes Wanita Ditolak Suami Ke Gaung: Mangsa Ambil 9 Jam Untuk Naik Semula Ke Atas, Hanya Fikir Anak-Anak
Wanita yang ditolak jatuh gaung dalam kejadian berhampiran Kilometer (KM) 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, pada 27 Julai lalu nekad merangkak naik untuk menyelamatkan diri selepas memikirkan nasib dua anak yang masih kecil.
9 Jam Merangkak Naik Semula
Menurut laporan Sinar Harian, detik hitam itu diceritakan kembali oleh mangsa kepada Ketua Operasi Ambulans Murtadha Dakwah Centra (Madad), Muhammad Ridzuan Osman, 36, yang diberi kepercayaan untuk menghantar mangsa pulang ke kampungnya di Kelantan selepas dibenarkan keluar dari Hospital Taiping, Taiping pada Sabtu.
Muhammad Rizuan berkata, mangsa yang berusia 32 tahun itu mengambil masa selama sembilan jam untuk naik semula ke atas dalam keadaan cedera parah di tulang belakangnya.
"Dia mengalami kecederaan tulang belakang patah, pecah dan retak, pinggang patah, tulang pinggul retak, patah tangan serta kecederaan pada paru-paru selepas ditolak jatuh gaung oleh suaminya kira-kira jam 5 pagi.
"Disebabkan beliau ingatkan anak-anaknya yang masih kecil berusia lima bulan dan enam tahun, beliau berusaha juga untuk selamatkan diri," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
"Mangsa ditolak pada jam 5 pagi tapi 2 petang baru dia dapat naik ke atas dan minta bantuan orang ramai.
"Dua anak dipercayai turut berada bersama dia dan suspek dalam kereta ketika kejadian," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Cekik, Tolak Isteri Dalam Gaung, Lelaki 39 Tahun Ditahan Polis