Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Khatijah Tan Pernah Terfikir Nak 'Resign' Jadi Artis, Kini Selesa Menetap Di Ipoh - "Rasa Nak Berehat Je, Tapi ..."

Amri Hassan 12/05/2022 | 04:55 MYT

Sudah lapan tahun menetap di Ipoh, Perak, bersama suami, pelakon Khatijah Tan akui pernah menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri dari dunia seni.

Kata Khatijah, 61, hasrat itu bagaimanapun terpaksa dikuburkan apabila mendapat tawaran lakonan yang membuatkannya rasa serba salah seandainya ditolak.
Namun, ibu kepada Pierre Andre itu menegaskan dia perlu menetapkan had dalam karier lakonannya.
"Dah lapan tahun saya duduk Ipoh dan suami pun dah pencen… jadi, saya rasa macam nak rehat saja. Tapi ada job yang dapat saya tak pernah buat.
"Jadi, saya rasa tak boleh juga nak berhenti dari dunia seni tapi saya hadkan lakonan saya. Kalau tengok, saya tak muncul lagi dekat mana-mana drama.
"Cuma saya muncul dalam telemovie atau filem saja. Sebab saya mencari kelainan. Saya pun dah puas buat macam-macam dari komedi dan serius," ujarnya kepada Gempak.
Khatijah ditemui ketika majlis pratonton dan sidang media filem Tiga Janda Melawan Dunia di GSC Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya pada Selasa.
Selain Khatijah, filem arahan pengarah muda Hyrul Anuar itu turut dibintangi oleh Raja Azura, Normah Damanhuri, Rosnah Mat Aris, Norman Hakim dan dua pelakon baharu iaitu Abbas Mahmood dan Ellyza Azizi.
Filem komedi yang akan ditayangkan bermula 19 Mei itu menampilkan sisi lakonan berbeza Khatijah, Normah dan Raja Azura.
Dalam pada itu, Khatijah memberitahu dia kini akan lebih selektif dan menolak tawaran watak yang sama atau karakter yang tidak lagi mencabar dirinya sebagai seorang pelakon.
"Saya ini seorang yang tak suka buat sesuatu benda yang sama. Saya suka benda yang berlainan. Bila dapat tawaran yang sama, kita rasa tak mencabar diri lagi.
"Jadi, saya mencari benda yang tak pernah saya buat. Ada juga telefilem yang saya buat walaupun penat sebab ia benda baharu. Sama juga dengan filem ini.
"Kalau watak ibu biasa yang selalu itu, saya tak rasa pun nak buat. Bagi saya, sebelum saya mati, saya nak cuba buat benda yang tak pernah buat.
"Sebab itu saya sanggup buat shortfilem yang bayaran sekadar token tapi ia sesuatu yang berlainan dan buat saya rasa puas," tambahnya.

#pelakon #Pierre Andre #Perak #Ipoh #Bersara #Tiga Janda Melawan Dunia #Khatijah Tan #Resign
;