Hiburan
Kontroversi Konsert Tak Ganggu Fokus Bella Astillah Untuk ‘Perform’ Di Konsert Sumandak Stars - “Saya Fokus Pada Diri Sendiri & Vokal Saja”
Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mengambil pendirian untuk fokus pada diri sendiri daripada mengulas lanjut mengenai kontroversi membabitkan dirinya dalam penganjuran Konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku.
Fokus Persiapan Konsert
Ujar Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 30, dia memaklumkan adalah lebih baik baginya untuk tidak mengulas lanjut dan fokus pada persiapan konsert.
“Saya juga tahu perkara itu dari media sosial, pihak penganjur juga tiada cakap apa-apa.
“Buat masa ini, saya hanya fokus diri saya sahaja. Saya ada kelemahan dan kekurangan, lebih baik saya fokus pada diri sendiri dan vokal saja,” ujarnya kepada Gempak.
Bella ditemui pada Jelajah Jiwa SME di Central i-City, Shah Alam, pada Jumaat.
Ikut Kelas Vokal
Mengulas mengenai persiapan menjelang malam yang menghimpunkan penyanyi asal ‘Negeri Di Bawah Bayu’ itu, Bella turut mengikuti kelas vokal bersama guru vokal, Cikgu Shafi.
“Untuk persediaan konsert, saya ada kelas vokal bersama Cikgu Shafi, itu yang terutama. Yang selebihnya seperti penari pihak label yang uruskan.
“Buat masa ini, saya perbaiki diri saya dahulu. Lagu juga belum diputuskan berapa sebab ramai penyanyi akan buat persembahan.
“Ia melibatkan artis-artis dari Sabah, semua hebat dan saya berasa sangat kecil tetapi apapun saya bersyukur. Ini peluang dan rezeki jadi saya kena buat yang terbaik,” kongsi Bella.
Terdahulu, penyanyi Stacy Anam menarik diri daripada menjayakan konsert yang turut menampilkan Azharina, Ayu Damit, Marsha, Nikki Palikat, Adira, Bella Astillah, Didie Astillah dan Wani Kayrie.