Laman Utama

KRI Nanggala-402 Ditemui, 53 Kru Sah Terkorban

Amri Hassan
25/04/2021
15:47 MYT
Sponsor Banner
KRI Nanggala-402 Ditemui, 53 Kru Sah Terkorban
Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengesahkan semua 53 kru kapal selam KRI Nanggala-402 terkorban.
Perkara itu diumumkan Hadi Tjahjanto menerusi sidang media lewat petang Ahad.
"KRI Rigel telah melakukan penyiasatan dengan lebih terperinci di lokasi tersebut menggunakan multibeam sonar dan magnetometer telah menghasilkan visual dalam air yang lebih terperinci.
"MV Ship Rescue juga telah menurunkan kenderaan kawalan jauh tanpa pemandu bawah air (ROV) untuk memperkukuh visual bawah air menggunakan kamera," katanya.
Kompas TV melaporkan ia selepas beberapa bahagian kapal selam itu ditemui hasil penelitian dasar laut. Antara yang ditemui kemudi kipas belakang kapal selam, sauh, bahagian luar badan, kemudi selam timbul, bahagian kapal yang lain.
Jelas Hadi, penemuan serpihan itu mengukuhkan lagi nahas yang menimpa kapal selam itu.
"Berdasarkan bukti-bukti kukuh tersebut, dapat dinyatakan bahwa KRI Nanggala-402 telah tenggelam dan seluruh anak kapalnya telah gugur," katanya.
KRI Nanggala 402 yang menjalani beberapa naik taraf menyertai latihan tentera laut di pesisir pantai Bali ketika ia meminta kebenaran untuk menyelam dan kemudian terputus hubungan.
Kapal selam itu dikatakan terputus hubungan ketika tenggelam sedalam 700 meter di dasar laut, melebihi keupayaan aset itu untuk bertahan terhadap tekanan persekitaran.
KRI Nanggala 402 seberat 1,300 tan jenis 209 diesel elektrik adalah kapal selam penyerang yang dibina pada 1978 dan diserahkan kepada Indonesia pada Oktober 1981.
Aset itu pernah dibaik pulih pada 1989 di Jerman dan kemudian pada 2012 di Korea Selatan dengan strukturnya diganti serta sistem penggerak, sonar dan senjata dinaik taraf.
Sumber: Harian Metro, Kompas TV
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar