Hiburan
Kualiti Nyanyian Sering Dikritik, Bella Astillah Tetap Positif – “Saya Terima Saja Dengan Hati Terbuka”
Pelakon dan penyanyi Bella Astillah tidak berkecil hati apabila persembahan nyanyiannya di sebuah acara baru-baru ini mendapat reaksi negatif sesetengah pihak.
Terima Kritikan Netizen
Menurut Bella, perkara tersebut sedikit sebanyak membantunya untuk terus memperbaiki kualiti nyanyiannya pada masa hadapan.
“Saya faham sebab saya tak boleh nak marah. Masing-masing ada pendapat sendiri.
“Apa saja komen atau kecaman terhadap saya itu menjadikan saya untuk jadi lebih baik. Apa saja selepas ini, saya perlu kongsi kelas vokal saya.
“Saya ada pergi (kelas vokal) cuma saya tak kongsi. Saya terima saja dengan hati terbuka. Banyak yang perlu diperbaiki untuk kebaikan saya juga.
“Doa dan kata-kata yang diberikan membina semangat saya untuk jadi lebih baik,” katanya kepada Gempak.
Sumber Rezeki Buat Keluarga
Dalam pada itu, pelantun lagu Tapi Bukan Denganmu itu menerima apa saja peluang dan rezeki yang hadir demi memberikan yang terbaik buat keluarga kecilnya.
“Terima kasih kepada yang menyokong. Sejujurnya apa saja kerja yang saya dapat sekarang, selagi mampu dan terdaya, saya akan buat.
“Rezeki untuk anak-anak. Saya juga seorang anak sulung dan kemudian ada dua anak yang perlu dibesarkan.
“Apa saja rezeki yang ada sama ada show, lakonan dan duta saya akan ambil kalau ada kesesuaian dan kesempatan sebab itulah sumber rezeki untuk membesarkan anak-anak,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip rakaman yang memaparkan persembahan Bella Astillah di sebuah acara yang mendapat kritikan sesetengah warganet.