Terkini

Kucing Jalanan Malaysia Rangkul Juara Dunia

Gempak
07/11/2024
14:55 MYT
Sponsor Banner
Kucing Jalanan Malaysia Rangkul Juara Dunia
Hanya berstatus kucing jalanan, Baby milik pasangan suami isteri, Shaharudin Shuib dan Rooaida Mohd Darus dinobatkan sebagai juara dunia menewaskan ribuan pesaing lain dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa yang berlangsung di Oslo, Norway Ahad lalu.
Kucing betina itu berjaya menambat hati para juri dengan kejinakan, ketenangan serta sifat manja ketika penghakiman dibuat dalam pertunjukan anjuran Persekutuan Kucing Antarabangsa (Fife) tersebut.
Selain bulunya yang cantik dan didandan rapi oleh Shaharuddin sendiri, Baby menarik perhatian juri dan orang ramai kerana sangat jinak ketika penilaian sedang dibuat meja hakim.
Lebih manis lagi, Baby bersama seekor lagi kucing jantan, Miko milik pasangan tersebut bersaing sesama sendiri di pentas akhir bagi penentuan juara mutlak.
Baby berumur sembilan tahun bersama-sama lapan ekor kucing yang lain terdiri daripada empat ekor kucing baka British Short Hair, tiga kucing jalanan dan seekor kucing bengal mewakili negara ke persada antarabangsa hasil inisiatif Kelab Kucing Malaysia (KKM).
"Penyertaan kali kedua ini membuahkan hasil apabila juri tertarik dengan perwatakan Baby selain piawaian lain yang memenuhi spesifikasi pemarkahan.
"Ini adalah penghargaan yang tinggi diterima kerana Baby perlu bersaing sengit dengan 1,500 ekor kucing lain yang turut menyertai pertunjukan ini," kata Rooaida ketika dihubungi pada Rabu.
Turut mengiringi kontinjen negara ke Oslo, Timbalan Presiden KKM, Habil Husssain dan Setiausaha Agong, Muhammad Hasbullah Ibrahim.
Menurut Rooaida, kucingnya itu sudah mendapat pendedahan awal untuk menyertai pertunjukan tersebut dengan memberi ruang kepada Baby untuk berada di persekitaran yang terbuka.
"Saya dan suami kerap bawa Baby menyertai pertunjukan kucing dalam negara bagi membiasakan dia dengan khalayak ramai, ia dapat memupuk watak jinak dan manja.
"Baby hanyalah kucing baka biasa, kami ambil dia dari jalanan dan kemudian dipelihara dengan baik sehingga kini," ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Hasbullah memberitahu, kucing-kucing yang berdaftar di bawah KKM dan menyertai siri pertunjukan Fife peringkat tempatan mendapat merit untuk menyertai kempen pertunjukan tersebut di peringkat global.
Tambahnya, pertunjukan berprestij antarabangsa itu yang diadakan secara tahunan bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai orang awam mencintai haiwan peliharaan serta menjaganya dengan lebih baik.
Sumber: Sinar Harian
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar