Laman Utama
"Lagi Lasak Lagi Tinggi Hantaran Kahwin Kan..." - Ahirine Pernah Retak Tulang Dada, Jatuh Main Motor
Bekas wartawan penyiaran HLive, Ahirine Ahirudin tidak akan berhenti daripada melakukan sukan lasak dan aktiviti permotoran.
Minat yang mendoronnya ke arah itu, tambah Ahirine biarpun banyak kali mengalami kecederaan kerana hobi terbabit, ia tidak pernah mematahkan semangatnya.
"Saya banyak kali melalukan aksi lagak ngeri termasuklah filem lakonan saya sendiri seperti Remp-It 1, siri The Bridge dan Gol & Gincu sebelum ini.
"Soal cedera itu saya letak tepi sebabkan minat. Adalah banyak kali cedera tu, sekitar dua tahun lepas saya tercampak dari motor macam Superman ketika sedang buat aksi lagak ngeri. Masa itu saya alami minor fracture pada tulang dada.
"Tapi itulah diri saya, orang yang tak pernah serik buat aktiviti lasak. Kadang-kadang takut tapi pada masa sama seronok!" ceritanya kepada Gempak.
Ditanya tak bimbang soal susutnya wang hantaran apabila gadis cantik sepertinya terlibat dengan sukan lasak hingga berdepan kecederaan, jawab Ahirine berseloroh; "Saya rasa kalau perempuan itu lagi lasak, lagi tinggilah wang hantaran mereka."
Ahirine, 26, ditemui pada majlis pelancaran filem Gadis Jolobu The Movie di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam filem berkenaan, Ahirine diangkat sebagai heroin bergandingan bersama Datuk Hattan, Khir Rahman dan Joey Daud.
Kini, Ahirine berkampung selama sebulan di Kampung Lonek, Negeri Sembilan demi tuntutan watak dan penggambaran filem berkenaan. Gadis Jolobu The Movie dijangka ditayangkan pada Jun ini.