Laman Utama
Lama Beri Fokus Dalam Bidang Kulinari, Sid Murshid Kini Kembali Dengan ‘Menu’ Buah Tangan Baharu
Lebih dikenali sebagai pencipta kandungan atau content creator, nama Sid Murshid sering menjadi topik perbualan netizen di media sosial kerana video-video masakannya yang menggiurkan.
Bukan itu sahaja, Sid juga pernah tular sekitar tahun 2017 kerana gemar mencipta lagu-lagu tentang makanan kegemarannya yang berjaya mencuit hati orang ramai seperti Pisang Goreng Power dan Sedap Tak Nasi Lemak.
Setelah hampir setahun menyepikan diri daripada bidang muzik, Sid kini kembali aktif menerusi single dan video muzik terbaharunya berjudul i x Kesah.
Penulis lagu Hiasi Duniaku yang dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, dia berhasrat untuk menghadiahkan lagu i x Kesah khas buat para pengikutnya di media sosial.
“Bagi mereka yang sudah lama mengikuti saya pasti sudah tahu pada awalnya saya ialah seorang penyanyi. Namun, seiring peredaran masa melalui aplikasi TikTok dan Instagram, saya cuba sesuatu yang baharu dengan mempamerkan bakat masakan saya dan ternyata orang ramai suka pada kandungan sebegitu sehingga berjaya mendapat sambutan.
“Walaupun saya semakin dikenali kerana masakan, bidang muzik dan nyanyian masih merupakan keutamaan. Saya berharap dengan lagu i x Kesah ini saya dapat kembali menjenamakan Sid Murshid sebagai seorang penyanyi kepada orang ramai.
Melalui lagu i x Kesah, Sid memberitahu yang dia ingin menyampaikan sebuah mesej tentang betapa pentingnya setiap individu itu perlu menyayangi diri sendiri sebelum mengutamakan orang lain.
“Justeru, saya berharap agar lagu ini menjadi inspirasi kepada orang ramai yang kadang-kadang lupa untuk menghargai diri sendiri.
“Lagu ini merupakan buah tangan untuk mereka yang sentiasa bertanya mengenai lagu baharu saya, dan saya juga berharap ia akan mendapat sokongan dan tempat di hati para peminat seperti lagu-lagu saya sebelumnya seperti Lelah, Biarkan dan Rakaman.
Lagu i x Kesah merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Sid Murshid, manakala lirik lagunya pula adalah hasil nukilan Sid dan Izi Faizal.