Viral
Langkawi Buat Hal Lagi! Kali Ni Ayam Goreng Kunyit Harga Kayangan, Netizen Komen - “Masakan Dari Syurga Kot!”
Sekali lagi nama Pulau Langkawi menjadi hangat apabila seorang individu meluahkan rasa terkejut selepas mendapati sepinggan lauk ayam goreng kunyit di sebuah restoran di Pantai Chenang berharga RM20.
Menerusi hantaran yang dibuat di Facebook grup Langkawi Sana Sini, pelancong itu meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan harga yang didakwa tidak masuk akal untuk sepinggan ayam goreng kunyit dan nasi putih.
Berdasarkan resit yang dimuat naik, pelanconh itu memaklumkan harga dikenakan bagi ayam goreng kunyit ialah RM20, RM3 untuk nasi putih RM3 dan RM1 untuk air kosong dengan harga keseluruhan makanan yang dipesannya RM24.
“Patutlah orang luaq kata Langkawi mahai, hampa rasa baloi ka kena harga macam ni? Nasi putih RM3, ayam goreng kunyit macam tu sahaja sorang makan RM20.
“Ais kosong RM1, naya kena RM24, tu gambaq kedai aku dah snap tengok lah dekat area Chenang, jangan hampa terkena sudah.
“Jangan kecam, nak kecam pun ikut suka hampa lah aku post ni sebab rasa tak puas hati harga ayam goreng kunyit dia,” tulisnya dalam hantaran di Facebook yang kini tular.
Di ruangan komen, netizen juga turut bersetuju bahawa harga makanan yang dikenakan adalah tidak wajar.
Mereka juga meminta individu berkenaan membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.
Antara komen yang diterima:
“Buat aduan kepada pihak berkuasa. Akta pencatutan kalau betul mahal melebihi harga sepatutnya,”
“Amboi ayam dari surga kot na,”
“Mahai... Ayam kunyit sejemput dengan sayur pun apa yang ada saja letak, tak berbaloi dengan harga nasi asing pula tu,”
Sebelum ini, negeri yang terkenal dengan kisah Mahsuri itu pernah terpalit dengan isu yang sama di restoran berlainan iaitu harga bagi pesanan air kosong sebanyak RM5.
Isu itu menjadi pendebatan dalam kalangan orang ramai kerana harga minuman terbabit dianggap keterlaluan.