BERITA

Luah Perasaan Rindu Pada Ibu Bapa, Jasmin Hamid Buat Netizen Sebak

Rozaimi Zubaidi 03/04/2018 | 13:30 MYT
Pelakon Jasmin Hamid mengakui rindu pada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia pada tahun 2016.
Menerusi entri di Instagram (IG), Jasmin Hamid telah berkongsi gambar ketika mengaja kedua ibu bapanya yang sedang sakit di hospital sambil menyuapkan makanan kepada mereka.
"Tahun 2016, Allah telah tamatkan perkhidmatan saya dan adik -adik bilamana Allah menjemput kedua Pintu Syurga kami mengadapNya. Dunia kami jadi gelap pada masa tu. Tapi sebagai orang yang beriman, kita harus redha dengan ketentuanNya.
"Kami rindu untuk terus berbakti pada Pintu Syurga kami namun kami bersyukur kerana Allah beri kami peluang untuk berbakti sehingga akhir hayat Pintu Syurga kami.
"Kami bersyukur kerana Allah menjemput kedua Pintu Syurga kami dalam keadaan tenang dan pulang pada hari yang baik. Allah telah tamatkan penderitaan Pintu Syurga kami di atas dunia ini dari terus menanggung kesakitan dan Sakit yang Allah turunkan itu sebagai pencuci dosa hambaNya di atas muka bumi ini.
"Mohon Allah tempatkan kedua Pintu Syurga kami dan seluruh umat Islam yang pulang lebih dulu dari kita , di dalam syurgaNYA tanpa hisab," tulisnya.
Jasmin Hamid juga menasihati peminatnya yang masih mempunyai kedua orang tua agar mereka berbakti kepada mereka sementara masih ada peluang.
"Pada semua yang masih ada Pintu Syurga, teruskan berbakti pada mereka. Jangan jadikan alasan sibuk untuk tidak bersama mereka. Selagi kita hidup, kerja tidak akan habis.
"Cari masa untuk bersama mereka. Bukan duit yang mereka minta tapi kasih sayang dan perhatian anak-anak yang di perlukan terutama bila mereka sedang sakit," tulisnya lagi.
Rata-rata mengakui sebak apabila membaca luahan hati yang dilakukan oleh Jasmin Hamid dan mereka turut mendoakan agar kedua ibu bapanya ditempatkan dalam golongan orang yang beriman.
#pelakon #Pelakon #Jasmin Hamid