Madonna Keluar ICU, Keluarga Dedah Sedia Terima Berita Sedih
Dunia hiburan dikejutkan dengan berita bintang sensasi Madonna ditahan di unit rawatan rapi (ICU) selepas ditemui tidak sedarkan diri di New York hujung minggu lalu.
Madonna, 64, dimaklumkan telah dijangkiti bakteria serius sehingga menganggu kesihatan diri seperti dimaklumkan pengurusnya, Guy Oseary kepada media tempatan.
Penyanyi tersebut bagaimanapun dilaporkan sudah keluar hospital selepas beberapa hari ditahan ICU dan menerima rawatan rapi.
Insiden yang menimpa Madonna membuat keluarganya begitu bimbang dan bersedia untuk menghadapi kenyataan buruk seperti khabar kematian pesohor itu.
“Untuk beberapa hari yang lalu, seluruh ahli keluarga bimbang dan sudah bersedia dengan kemungkinan buruk yang bakal terjadi. Kerana itu semua merahsiakan berita ini sejak Sabtu.
“Seluruh keluarga percaya kami akan kehilangannya (Madonna) jika melihat kepada situasi yang melanda,” ujar satu sumber keluarga kepada Dailymail.uk.
Keluarga juga percaya kesihatan Madonna terganggu kerana penyanyi itu terlalu memaksa diri melakukan persiapan dan latihan berlebihan menjelang konsert yang dijadualkan berlangsung di Vancouver pada 15 Julai depan.
Sepanjang ditahan di hospital, anaknya, Lourdes berada di sisi Madonna. Selain Lourdes, Madonna juga memiliki lima cahaya mata lain iaitu Rocco, 22; David, 17; Mercy, 17; dan pasangan kembar berusia 10 tahun, Stella dan Estere.
Lantaran masalah kesihatan yang dihidapi, Madonna telah menangguhkan konsert Celebration Tour yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-40 lagu pertamanya, Holiday yang dikeluarkan pada 1983.