Laman Utama
Mahu Beri Bantuan Dari Sudut Agama, Hazeman Huzir Pelawa Nur Sajat Berjumpa
Pengacara Hazeman Huzir atau lebih dikenali sebagai Haze memberi pandangan terhadap isu usahawan kosmetik, Nur Sajat yang didakwa mahu keluar dari agama Islam.
Perkongsian itu dibuat menerusi sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya buat tatapan ramai.
Menurut Haze, apa yang boleh dilakukan oleh orang ramai adalah mendoakan Sajat agar kembali ke jalan yang benar.
"Bukankah agama Islam adalah antara kita dengan Allah semata-mata? Tiada orang lain yang boleh menyangkal untuk kita hidup bertuhan.
"Sajat ini, macam Allah dah tunjukkan apa rupa, contoh dan sebagainya supaya kita tidak ulangi kesilapannya.
"Apa yang kita boleh buat, doakan kesejahteraan dia, semoga dipermudahkan dan semoga dia kembali kepada agama Islam, tak salah pun, tak miskinlah kalau kita doa yang baik-baik untuk orang lain," katanya dalam video tersebut.
Dalam pada itu, Haze turut menawarkan usahawan kosmetik itu untuk berjumpa dengannya jika memerlukan bantuan atau nasihat dari segi agama.
"Kepada Sajat, kalau anda menonton video ini, saya bukan nak kutuk awak dan bukan jadikan content semata-mata.
"Kalau awak memerlukan bantuan, sila DM saya di Instagram, dari segi agama dan sebagainya, apa yang saya boleh bantu, saya boleh bantu.
"Kalau ada persoalan mengenai agama, saya faham apa yang awak perlukan Sajat kerana kadang-kadang kita segan nak hampiri pendakwah dan mereka kadang-kadang malu untuk hampiri kita.
"Insya-Allah ada jawapan, dan jawapan saya berdasarkan Al-Quran, bukan berdasarkan akal saya," katanya lagi.
Sementara di Instagram, Haze menjelaskan sebab mengapa dia baru berkongsi video itu selepas dua atau tiga minggu isu Sajat hangat diperkatakan.
Menurutnya, dia sengaja menunggu keadaan yang lebih reda untuk berbuat demikian.
Terdahulu, Sajat meluahkan hasratnya untuk keluar dari agama Islam selepas didakwa atas tuduhan berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajad, 36, didakwa atas pertuduhan berpakaian menyerupai wanita dalam majlis bacaa Yasin dan solat hajat kira-kira pukul 7.30 malam, 23 Februari 2018.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 10 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.
Selepas pengakuan direkodkan, Muhammad Sajjad dibebaskan dengan jaminan RM3,000.