Berita
Maria Farida Menang Saman Fitnah Bekas Isteri Suaminya RM400k
Pelakon Maria Farida menang saman fitnah apabila mahkamah tinggi memerintahkan bekas isteri kepada suaminya, Hadijah Mohamed Mokhtar dan anaknya membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 terhadapnya.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Maria Farida berjaya membuktikan bahawa defendan Hadijah dan Nur Shazaleen Anid Mohd Yusoff memfitnahnya.
Mahkamah memerintahkan Hadijah membayar ganti rugi sebanyak RM300,000, manakala anaknya Nur Shazaleen diperintahkan membayar RM100,000.
Mahkamah juga dalam keputusannya memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Maria.
Peguam Tengku Haris Tengku Rostam hadir bagi mewakili Maria Farida atau nama sebenarnya Maria Faridah Atienza, 48.
Pada 30 Disember 2016, Maria Farida memfailkan saman dengan menamakan Hadijah atau dikenali sebagai Karen Rahman dan Nur Shazaleen Anis Mohd Yusoff, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Maria memohon perintah injunksi melarang kedua-dua defendan atau melalui ejen membuat, mengeluarkan, menerbit, menyiar segala pernyataan fitnah terhadapnya serta permohonan maaf.
Selain itu, dia memohon perintah menghalang kedua-dua wanita itu daripada berhubung dengannya menerusi mesej, panggilan telefon dan media sosial.
Maria dan Datuk Rahman Shakur berkahwin pada 27 November 2015.
Sumber: Harian Metro