Masuk Hospital Keracunan Makanan, Ruhainies: “Tak Kira Berapa Banyak Duit…”
Pelakon Ruhainies berkongsi perkembangan terkini dirinya dengan khabar kurang baik.
Menerusi beberapa keping foto yang dimuat naik di akaun Instagramnya, pelakon berusia 29 tahun itu memberitahu dirinya mengalami keracunan makanan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Mengaku sudah alami keracunan makanan sejak minggu lalu lagi, namun pelakon tersebut tidak lagi mampu bertahan sekaligus ‘menyerah’ diri di hospital.
Meski demikian, menurut pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, keadaannya kini sudah beransur pulih dan telah meminta kebenaran doktor untuk keluar wad demi menyambung pekerjaannya yang tertunda.
Ruhainies saat ini diketahui sedang sibuk berada di lokasi penggambaran drama Sayang Tak Dikenang yang diarahkan oleh Feroz Kadir.
“Saya tak ingat bila kali terakhir yang keracunan yang sebegini teruk. Tetap kena kerja masa sakit, seksa okey. Orang macam kami, MC pun tiada guna, tetap kena kerja sebab tak mahu menyusahkan orang,” tulisnya dalam Instagram.
Selain itu Ruhainies turut menyampaikan rasa terima kasih buat seluruh kru produksi yang memberi kerjasama dan memahami masalah kesihatannya.
“Terima kasih kepada pihak produski drama yang sangat memahami dan bagi saya call time (waktu kerja) sedikit lewat untuk penggambaran,” katanya.
Terakhir, pelakon yang membahasakan dirinya sebagai Anis ini meninggalkan pesanan agar sentiasa menjaga kesihatan.
“Pesanan Anis, jagalah diri, jaga kesihatan okey. Tak kisahlah berapa berat tugas dan berapa banyak duit yang kita dapat, kesihatan tetap nombor satu,” tulisnya.