Laman Utama
Maut Akibat Patah Tengkuk, Polis Siasat Kemungkinan Kematian Ahli Bina Badan, Justyn Vicky Ada Unsur Jenayah
Polis sedang menyiasat kemungkinan ada unsur jenayah dalam kejadian membabitkan ahli bina badan, Herman Fauzi atau lebih dikenali sebagai Justyn Vicky selepas gagal mengangkat barbell seberat 210 kilogram di sebuah pusat kecergasan di Jalan Danau Tamblingan, Sanur, Denpasar, Bali baru-baru ini.
Ketua Polis Denpasar Selatan, AKP Ida Ayu Made Kalpika Sari, berkata, pihak mereka masih melakukan siasatan jika benar kematian pempengaruh sukan bina badan berkenaan melibatkan sebarang unsur jenayah.
“Dalam hal ini, Unit Siasatan Jenayah Polres Denpasar Selatan masih melakukan siasatan untuk menemukan perbuatan jenayah tersebut,” katanya kepada Kompas.
Kapilka berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung musibah yang menimpa mangsa hasil muat naik video tular di media sosial.
Sementara itu, pihak pengurusan pusat kecergasan lokasi tragedi tidak mengambil inisiatif untuk melaporkan tragedi tersebut kepada polis.
“Siasatan polis bukan berdasarkan laporan pihak pengurusan tetapi maklumat berkaitan berita viral Justyn yang meninggal dunia akibat mengangkat beban,” katanya.
Dalam kes ini, sambung Kalpika, pihaknya telah memanggil dua saksi yang bersama mangsa ketika kejadian. Keduanya disoal siasat pada minggu lalu.
Sumber: Kompas