Hiburan
Menghormati Privasi Rusdi & Sharon Paul, Norlia Ghani: “Dia Menantu Baik, Mama Sayang Dia”
Keharmonian rumah tangga pasangan Rusdi Ramli dan Sharon Paul sempat diterpa khabar kurang enak beberapa bulan lalu.
Sharon memberi gambaran institusi perkahwinan yang dibina dengan aktor tersebut kebarangkalian berakhir namun dia bertahan kerana dua zuriat yang dikongsi bersama Rusdi iaitu Reo Ridza, 14, dan Ryan Ridza, 11.
Bertemu dengan ibu kepada Rusdi, Norlia Ghani, pelakon veteran yang senang membahasakan dirinya Mama mengaku kurang mengetahui perihal rumah tangga anaknya bersama komposer tersebut.
“Mereka daripada mula kahwin, susah ke senang ke tidak pernah mengadu. Jadi Mama kurang tahu banyak benda yang tidak elok,” ujar Norlia sewaktu ditemui di malam anugerah Gempak Most Wanted 2023 di PICC, Putrajaya.
Norlia yang bertanggungjawab menyampaikan salah satu anugerah Gempak Most Wanted 2023 kemudian menyifatkan Sharon sebagai seorang menantu yang baik.
“Sharon dia memang budak baik. Mama sayang dia sebagai menantu yang baik,” katanya lagi.
Rusdi, 53, dan Sharon, 46, berkahwin pada 2008. Sebelum itu, Rusdi pernah mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata lelaki, Efiezal Ridza, 33.