Berita
Menteri Pendidikan Kekal Keputusan UPSR & PT3 Dimansuhkan - "Anak-Anak Bukan Tikus Makmal"
Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kekal dimansuhkan dan tidak dikembalikan semula setakat ini.
Tetap Dengan Keputusan
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) masih kekal dengan keputusan terdahulu yang memansuhkannya pada 2022.
Bagaimanapun, kata beliau, cadangan untuk mengembalikan kedua-dua peperiksaan itu memerlukan pandangan menyeluruh dan tidak boleh dilihat berdasarkan satu aspek sahaja.
"Anak-anak kita bukan tikus makmal...
“Kita perlu sediakan pandangan keseluruhan KPM dan kita akan siapkan persiapan pandangan itu, ia tidak boleh dilihat dalam satu aspek sahaja dan (seharusnya) lebih besar.
“Ini kerana anak-anak kita bukan tikus makmal yang kita nak ulang kaji mereka, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPM.
Beliau mengulas mengenai saranan beberapa pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid agar UPSR dan PT3 dikembalikan.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M)
Fadhlina berkata, cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincangkan.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihak kementerian telah membuat pelbagai penegasan semula khusus untuk meneguhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) termasuk latihan kepada guru-guru.
Katanya, langkah ini bagi memastikan tidak ada apa-apa yang akan menjejaskan kemajuan anak-anak kita khususnya berkaitan dengan falsafah pendidikan kebangsaan.
“Jadi penegasan di peringkat KPM itu adalah untuk memastikan apa keputusan yang kita ambil tidak boleh menjejaskan anak-anak kita.
“Kita ada tumpuan yang lebih besar khususnya Kurikulum Persekolahan 2027 dan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu.
“Semua input ini termasuk peperiksaan UPSR sudah berada dalam sesi libat urus KPM khususnya Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu,” katanya.
BERITA TRENDING: Tahniah! Anak Liza Hanim Dapat UPKK 8A - “Dia Sedih Bila UPSR Dimansuhkan”
BERITA TRENDING: “Sebelum Ni Maki Aku…”- UPSR Dimansuhkan, Suhaimi Saad Bangga Buktikan Sijil Pelajaran Tak Penting
BERITA TRENDING: Rasmi! Ujian UPSR Mansuh Sepenuhya & PT3 2021 Pula Batal
BERITA TRENDING: "Saya Dulu Sekolah UPSR Dapat 5A" - Pavithra Tak Dapat Habiskan Belajar, Terpaksa Tolong Bapa Gara-Gara ...
UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.
PT3 pula mula dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan pada 2022.
Sumber: Utusan Malaysia